28 August 2009

KEINGINAN YANG MEMBINASAKAN

Satu waktu, Tuhan berkata kepada Salomo melalui mimpinya : “Mintalah apa yang hendak Kuberikan kepadamu” (1 Raja-Raja 3:5). Jika Tuhan mengajukan kata-kata ini kepada Anda, apakah yang Anda akan minta dari Tuhan? Pilihlah A, B atau C. (A). Hikmat dan kebijaksanaan (Seperti yang diminta oleh Salomo dan itu diberikan Tuhan kepadanya. Baca: 1 Raja-Raja 3:9,11-14). (B). Dipakai Tuhan dengan luar biasa sehingga memenangkan jutaan orang percaya Yesus. (C). Hidup menyenangkan hati Tuhan. Jika Anda telah memilih A, B, atau C; pilihan itu digerakkan oleh “Keinginan”, kerana setiap dari kita pasti ada keinginan yang berbeza dan khusus.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengongsikan firman Tuhan tentang “Keinginan Yang Membinasakan”. Apakah keinginan-keinginan yang akhirnya membawa kepada kebinasaan atau merugikan?

1. KEINGINAN YANG MELAWAN PERINTAH TUHAN

“…Jangan kamu makan ataupun raba (ditambah) buah itu, nanti (dikurangi) kamu mati” Kejadian 3:3 Bandiangkan dengan Kejadian 2:17 “..janganlah engkau makan buahnya, sebab pada hari engkau memakannya, PASTILAH engkau mati”.

Walaupun awal kejatuhan Adam dan Hawa dalam dosa adalah kerana pengaruh si ular, namun semua itu terjadi kerana keinginan mereka sendiri. Jika kita bandingkan dua ayat di atas, Hawa menambahi dan mengurangi firman Tuhan. Tuhan tidak pernah mengatakan mereka tidak boleh meraba buah larangan itu dan Tuhan tegas dalam menyatakan akibatnya jika buah larangan itu di makan iaitu “PASTI mati” dan bukan ‘naaaaaaaaaaanti”.

Firman Tuhan katakan kasihilah musuhmu. Itu adalah perintah. Tetapi keinginan dalam hati kita mengatakan, “kenapa saya harus mengasihi orang yang pernah menampar pipi saya?” atau “kenapa saya harus mengampuni orang yang pernah menjadi tunang saya tetapi telah menghianati kesetiaan saya padanya?”. Ketika Yesus disalibkan, Dia sempat berdoa: “Ya Bapa, ampunilah mereka, sebab mereka tidak tahu apa yang mereka perbuat.” Pada saya, ini merupakan doa syafaat yang sangat luar biasa, kerana Yesus memohon pengampunan dari Bapa kepada orang-orang yang menyalibkan Dia.

Yesus adalah teladan yang sangat luar biasa dalam hal mengikut firman Tuhan. Yesus taat saat Roh Kudus membawa Dia ke padang gurun dengan tujuan untuk dicobai Iblis (Matius 4:1). Yesus tidak tunduk pada desakan Iblis agar dia membuktikan ketuhanan-Nya dengan cara mentaati apa yang Iblis minta Yesus lakukan. Yesus hanya melakukan apa yang Bapa perintahkan.

Bagaimana dengan Anda? Jangan sekali-kali izinkan walaupun di ruang ‘keinginan’ untuk melawan perintah Tuhan, kerana keinginan itulah yang akan menjatuhkan Anda.

2. KEINGINAN YANG BERPUSAT PADA PEMUASAN DIRI SENDIRI (EGO / SOMBONG)

“Engkau yang tadinya berkata dalam hatimu: Aku hendak naik ke langit, aku hendak mendirikan takhtaku mengatasi bintang-bintang TUHAN, dan aku hendak duduk di atas bukit pertemuan, jauh di sebelah utara. Aku hendak mengatasi ketinggian awan-awan, hendak menyamai Yang Mahatinggi.”
Yesaya 14:13-14

Ayat di atas berbicara tentang latarbelakang kejatuhan Lusifer (Iblis). Jika Anda bertanya: Apakah punca kejatuhan Lusifer? Dalam ayat ini, sebanyak empat kali Lusifer mengatakan “aku hendak” dab berakhir dengan “hendak menyamai Yang Mahatinggi”. Lusifer mulai ‘ego’ (sombong) dengan cara memuaskan keinginan / kehendak sendiri.

Penyakit yang paling bahaya dalam diri kita bukanlah kanser atau Influenza A H1N1, tetapi penyakit yang kita tidak sedari atau tidak dikesan dari awal. Kesombongan dalam hati jika tidak disedari, merupakan alat Iblis yang sangat efektif (berkesan) untuk menjatuhkan seseorang. Iblis lebih senang jika kehadiran pengaruhnya atau tipu dayanya tidak disedari. Kesombongan itu tidak kelihatan dalam tindakan atau kata-kata sahaja, tetapi ia tersembunyi dari dalam hati, seperti yang dikatakan dalam firman Tuhan ini : “...Engkau (Lusifer) yang tadinya berkata-kata dalam hatimu..”. Lusifer cuma berkata-kata dari dalam hati. Tetapi, hal itu TUHAN tahu dan Dia sangat benci pada kesombongan.

Kesombongan boleh masuk dalam hati kita melalui kekuatan, potensi, karunia atau karisma yang ada pada kita. Seorang pengkutbah, pemimpin gereja, pemimpin pujian dan penyembahan, pemuzik, ketua kelompok sel, dapat jatuh dalam kesombongan bila dia merasa semua pencapaian yang baik itu terjadi kerana kekuatannya. Sebagai seorang yang selalu berkhotbah di gereja yang saya layani atau bila mendapat jemputan berkutbah di mana-mana, biasanya saya akan mendapat respon pujian dan kritikan. Beberapa kali saya juga pernah terperangkap dengan kesombongan dalam hati. Saat orang yang mendengar khotbah yang saya sampaikan memberi pujian atau menyatakan dia sangat diberkati, di dalam hati mulai timbul rasa senang, bangga, gembira dan merasa seperti “melayang-layang di udara”. Tetapi, jika ada orang yang memberi respon kurang mengerti atau mengatakan “Pastor, khotbah kamu hari ini kurang tajam”, maka saya merasa kecewa. Itulah tanda-tanda awal ego (kesombongan) kerana keinginan untuk memuaskan diri sendiri. Saya menyedari bahawa bukan mudah untuk melawan dan mengalahkan ego, namun saya temukan ada dua cara untuk melawannya. Pertama, sedari dan cari simptom atau tanda awal ego seperti ingin dipuji, dihargai, diterima; rasa kecewa saat ditolak atau tidak dihargai. Kedua, sedari bahawa kita hanya alat Tuhan dan hanya Tuhan yang layak menerima pujian, sanjungan dan kehormatan.

RENUNGKANLAH:

Yesaya 10:15 mengatakan, “Adakah kapak memegahkan diri terhadap orang yang memakainya, atau gergaji membesarkan diri terhadap orang yang mempergunakannya? Seolah-olah gada menggerakkan orang yang mengangkatnya, dan seolah-olah tongkat mengangkat orang yang bukan kayu?”. Kita hanyalah alat Tuhan. Dialah yang layak menerima pujian dan kehormatan di sebalik kekuatan yang ada pada kita.

FIKIR-FIKIRKANLAH....
...Jika Tuhan mengajukan kata-kata ini kepada Anda, apakah yang Anda akan minta dari Tuhan? Pilihlah A, B atau C. (A). Hikmat dan kebijaksanaan (Seperti yang diminta oleh Salomo dan itu diberikan Tuhan kepadanya. Baca: 1 Raja-Raja 3:9,11-14). (B). Dipakai Tuhan dengan luar biasa sehingga memenangkan jutaan orang percaya Yesus. (C). Hidup menyenangkan hati Tuhan.
...Dari A, B dan C, saya memilih “C”.
...Apakah Anda mahu menjadi seperti kapak yang memegahkan diri terhadap orang yang memakainya? Jika tidak....Matikanlah ego yang ada di dalam diri Anda.

“KEINGINAN YANG BERTENTANGAN DENGAN KEHENDAK TUHAN ADALAH AWAL DARI KEHANCURAN. HANCURKAN KEINGINAN ITU SEBELUM IA MENGHANCURKAN ANDA”

26 August 2009

PENYERAHAN HAK



“Barangsiapa mempertahankan nyawanya, ia akan kehilangan nyawanya, dan barangsiapa kehilangan nyawanya karena Aku, ia akan memperolehnya.”
Matius 10:39

Pada 12 Ogos 2009, sekitar jam 1.30 pagi, Saya bersama Pst. James Taju (GPI Batam, Indonesia, mentor kami di SIB Serdang) telah dirompak. Saya baru sahaja menjemput Pst. James dari LCCT (Air Asia) sekitar jam 12.40 tengah malam yang datang dari Manado dan akan menginap di rumah kami sebelum melanjutkan perjalanan balik ke Batam.

Waktu saya sedang membuka pintu pagar rumah kami untuk memasukkan kereta (van gereja) ke dalam, tiba-tiba 2 buah motorsikal bersama dengan 3 orang datang menghampiri kami. 2 orang dari mereka mendatangi saya dan 1 orang mendatangi Pst. James. Pada awalnya, saya berfikir mereka itu adalah di kalangan jemaat, tetapi saya tidak mengenali mereka. 2 orang yang mendatangi saya meminta sesuatu dari saya, tetapi saya kurang mengerti maksud mereka kerana masih terkejut dengan kehadiran mereka yang secara tiba-tiba. Dalam keadaan terkejut, salah seorang dari mereka tiba-tiba menumbuk bahagian mulut saya sehingga bibir bawah di sebelah kiri koyak dan saya rebah (darah mengalir dengan banyak). Lepas itu mereka ancam untuk memukul saya dengan senjata besi dan meminta handphone, jam dan dompet yang saya ada.

Ketika mereka sudah mendapatkan apa yang mereka inginkan, ada tiga hal yang terjadi dalam diri saya. Pertama, saya berdoa untuk melepaskan pengampunan kepada perompak itu. Kedua, saya serahkan semua yang mereka ambil dari saya kepada Tuhan kerana saya sedar semuanya adalah milik Tuhan ( Dalam dompet saya ada sedikit wang tunai, kad pengenalan saya, MyKid anak kami, dan beberapa kad bank). Ketiga, saya naikkan ucapan syukur kepada Tuhan kerana kecederaan ringan sahaja yang terjadi.

Saya sempat mengunci pintu pagar setelah kedua orang yang menyerang saya menuju ke arah Pst. James yang masih di dalam kereta. Saya juga sempat memanggil isteri saya yang di dalam rumah bersama anak kami (7 bulan dah umur dia hari ini) sebelum saya lari untuk mendapatkan bantuan dari orang lain. Saya sempat bimbang dengan keselamatan keluarga dan juga Pst. James yang masih dalam van ketika saya lari untuk mendapatkan bantuan.

Di belakang rumah kami, saya bertemu dengan seorang lelaki cina dan minta bantuan tetapi dia juga menyatakan yang baru sahaja dirompak (Malam itu ada 4 kejadian rompak di sekitar kawasan rumah kami). Seterusnya saya berlari ke sebuah apartemen di mana di situ ada pengawal keselamatan (sekuriti) dan dari mereka saya dapat menghubungi polis di Seri Kembangan. Lebih kurang 5 minit dari itu saya kembali ke rumah dan mendapati perompak dan Pst. James juga tidak ada di tempat kejadian. Saya bimbang juga memikirkan Pst. James, apakah dia selamat atau tidak. Tak lama dari itu kereta Polis tiba di tempat kejadian untuk mengawal keadaan dan mendapatkan maklumat. Setelah Polis datang, barulah Pst. James dan isteri saya keluar dari dalam rumah (Rupa-rupanya, Pst. James sudah masuk di rumah kami. Puji Tuhan semuanya selamat).

Pst. James dan isteri saya sempat terkejut dan tertanya-tanya dari mana darah yang banyak di tempat saya jatuh. Macam-macam yang timbul di fikiran ketika mereka melihat saya tidak ada di situ. Mungkin saya ditikam atau cedera teruk dan banyak lagi. Mereka sangat bersyukur setelah melihat keadaan saya kerana kecederaan yang saya alami tidak terlalu serius.

Setelah itu Polis nasihatkan kami untuk membuat laporan di balai polos Seri Kembangan. Saya dan Pst. James bergegas ke balai polis Seri Kembangan untuk membuat laporan polis. Lepas itu kami di minta untuk bertemu dengan pegawai penyiasat di balai polis Sri Serdang sebelum kami ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan. Kami hanya balik ke rumah sekitar jam 7 pagi kerana urusan laporan polis dan rawatan di hospital. Jadi sepanjang malam itu kami tidak tidur.

Ketika sampai di rumah dari hospital, saya sangat terhibur kerana ada 5 (sebenarnya 6 tetapi seorang dari mereka awal balik kerana perlu jalan awal untuk bekerja) orang jemaat yang terus setia menemani keluarga saya di rumah. Saya sangat terhibur dengan perhatian yang diberikan. Saya juga mendengar ada jemaat yang sanggup meredah hujan sekitar jam 6 pagi (di Semenanjung masih gelap tu) untuk mencari kedai yang menjual kredit handphone, kerana kredetnya habis dan dia cuba mendapatkan maklumat sebenar yang telah terjadi kepada kami. Siangnya, para pemimpin gereja datang ke rumah kami untuk memberi sokongan dan memberi dorongan kepada kami. Ramai teman-teman dan ahli keluarga yang menghubungi kami. Terima kasih yang tidak terhingga atas apa yang telah kamu lakukan.

Di sebalik dari peristiwa ini, saya mula memahami maksud Yesus di Matius 10:39. “Nyawa”, mewakili semua yang sangat berharga bagi kita. Yesus ajarkan, untuk mendapatkan sesuatu yang sangat berharga, jangan pertahankan tetapi lepaskan hak kepemilikan kita itu kepada Tuhan. Pagi itu, ketika saya melepaskan pengampunan, melepaskan hak kepemilikan dari semua yang diambil dari saya dan menaikkan ucapan syukur, saya sedar itu bukan kekuatan saya sendiri tetapi Roh Kudus yang telah memampukan saya untuk melakukannya kerana Dia ialah Penolong yang Yesus utus kepada setiap anak-anak-Nya (Yohanes 14:16-17).

Saya mahu kongsikan beberapa pelajaran penting dari peristiwa yang kami alami:

1. Kedatangan Yesus adalah seperti pencuri (Matius 24:43-44). Oleh itu kita harus senantiasa berjaga-jaga dengan cara tetap setia dan mengasihi Tuhan dengan sungguh-sungguh. Hati-hati juga dengan peragut atau perompak. Lebih baik nombor telefon balai polis yang terdekat senantiasa diingat.
2. Jangan pertahankan “nyawa” atau hak kepemilikan (Matius 10:39). Apa yang Anda sangat hargai, serahkan itu kepada Tuhan dengan cara melepaskan hak kepemilikan Anda kepada Tuhan.

UCAPAN SYUKUR: 1 Tesalonika 5:18

1. Tuhan masih memberi kesempatan untuk melaksanakan pekerjaan-Nya melalui saya di muka bumi ini.
2. Walaupun semua dompet, handphone, jam dan beberapa barang lain di ambil oleh perompak, tetapi ketika Pst. James minta pasportnya dari perompak itu, mereka berikan pada Pst. James.
3. Perhatian dan sokongan dari isteri, jemaat dan kawan-kawan, terhadap kami. Anda semua memberi banyak penghiburan kepada kami.

FIKIR-FIKIRKANLAH...

“Bersyukurlah dengan apa yang ada dan jangan kesali apa yang tidak ada atau yang hilang”

UNTUK MENGTAHUI LEBIH LANJUT TENTANG “PENYERAHAN HAK” SILA IKUTI EXCELLENT SERVENT CAMP (ESC) PADA 26-28 FEBRUARI 2010 DI MBS RAWANG. PASTI ANDA DIBERKATI.