28 August 2009

KEINGINAN YANG MEMBINASAKAN

Satu waktu, Tuhan berkata kepada Salomo melalui mimpinya : “Mintalah apa yang hendak Kuberikan kepadamu” (1 Raja-Raja 3:5). Jika Tuhan mengajukan kata-kata ini kepada Anda, apakah yang Anda akan minta dari Tuhan? Pilihlah A, B atau C. (A). Hikmat dan kebijaksanaan (Seperti yang diminta oleh Salomo dan itu diberikan Tuhan kepadanya. Baca: 1 Raja-Raja 3:9,11-14). (B). Dipakai Tuhan dengan luar biasa sehingga memenangkan jutaan orang percaya Yesus. (C). Hidup menyenangkan hati Tuhan. Jika Anda telah memilih A, B, atau C; pilihan itu digerakkan oleh “Keinginan”, kerana setiap dari kita pasti ada keinginan yang berbeza dan khusus.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengongsikan firman Tuhan tentang “Keinginan Yang Membinasakan”. Apakah keinginan-keinginan yang akhirnya membawa kepada kebinasaan atau merugikan?

1. KEINGINAN YANG MELAWAN PERINTAH TUHAN

“…Jangan kamu makan ataupun raba (ditambah) buah itu, nanti (dikurangi) kamu mati” Kejadian 3:3 Bandiangkan dengan Kejadian 2:17 “..janganlah engkau makan buahnya, sebab pada hari engkau memakannya, PASTILAH engkau mati”.

Walaupun awal kejatuhan Adam dan Hawa dalam dosa adalah kerana pengaruh si ular, namun semua itu terjadi kerana keinginan mereka sendiri. Jika kita bandingkan dua ayat di atas, Hawa menambahi dan mengurangi firman Tuhan. Tuhan tidak pernah mengatakan mereka tidak boleh meraba buah larangan itu dan Tuhan tegas dalam menyatakan akibatnya jika buah larangan itu di makan iaitu “PASTI mati” dan bukan ‘naaaaaaaaaaanti”.

Firman Tuhan katakan kasihilah musuhmu. Itu adalah perintah. Tetapi keinginan dalam hati kita mengatakan, “kenapa saya harus mengasihi orang yang pernah menampar pipi saya?” atau “kenapa saya harus mengampuni orang yang pernah menjadi tunang saya tetapi telah menghianati kesetiaan saya padanya?”. Ketika Yesus disalibkan, Dia sempat berdoa: “Ya Bapa, ampunilah mereka, sebab mereka tidak tahu apa yang mereka perbuat.” Pada saya, ini merupakan doa syafaat yang sangat luar biasa, kerana Yesus memohon pengampunan dari Bapa kepada orang-orang yang menyalibkan Dia.

Yesus adalah teladan yang sangat luar biasa dalam hal mengikut firman Tuhan. Yesus taat saat Roh Kudus membawa Dia ke padang gurun dengan tujuan untuk dicobai Iblis (Matius 4:1). Yesus tidak tunduk pada desakan Iblis agar dia membuktikan ketuhanan-Nya dengan cara mentaati apa yang Iblis minta Yesus lakukan. Yesus hanya melakukan apa yang Bapa perintahkan.

Bagaimana dengan Anda? Jangan sekali-kali izinkan walaupun di ruang ‘keinginan’ untuk melawan perintah Tuhan, kerana keinginan itulah yang akan menjatuhkan Anda.

2. KEINGINAN YANG BERPUSAT PADA PEMUASAN DIRI SENDIRI (EGO / SOMBONG)

“Engkau yang tadinya berkata dalam hatimu: Aku hendak naik ke langit, aku hendak mendirikan takhtaku mengatasi bintang-bintang TUHAN, dan aku hendak duduk di atas bukit pertemuan, jauh di sebelah utara. Aku hendak mengatasi ketinggian awan-awan, hendak menyamai Yang Mahatinggi.”
Yesaya 14:13-14

Ayat di atas berbicara tentang latarbelakang kejatuhan Lusifer (Iblis). Jika Anda bertanya: Apakah punca kejatuhan Lusifer? Dalam ayat ini, sebanyak empat kali Lusifer mengatakan “aku hendak” dab berakhir dengan “hendak menyamai Yang Mahatinggi”. Lusifer mulai ‘ego’ (sombong) dengan cara memuaskan keinginan / kehendak sendiri.

Penyakit yang paling bahaya dalam diri kita bukanlah kanser atau Influenza A H1N1, tetapi penyakit yang kita tidak sedari atau tidak dikesan dari awal. Kesombongan dalam hati jika tidak disedari, merupakan alat Iblis yang sangat efektif (berkesan) untuk menjatuhkan seseorang. Iblis lebih senang jika kehadiran pengaruhnya atau tipu dayanya tidak disedari. Kesombongan itu tidak kelihatan dalam tindakan atau kata-kata sahaja, tetapi ia tersembunyi dari dalam hati, seperti yang dikatakan dalam firman Tuhan ini : “...Engkau (Lusifer) yang tadinya berkata-kata dalam hatimu..”. Lusifer cuma berkata-kata dari dalam hati. Tetapi, hal itu TUHAN tahu dan Dia sangat benci pada kesombongan.

Kesombongan boleh masuk dalam hati kita melalui kekuatan, potensi, karunia atau karisma yang ada pada kita. Seorang pengkutbah, pemimpin gereja, pemimpin pujian dan penyembahan, pemuzik, ketua kelompok sel, dapat jatuh dalam kesombongan bila dia merasa semua pencapaian yang baik itu terjadi kerana kekuatannya. Sebagai seorang yang selalu berkhotbah di gereja yang saya layani atau bila mendapat jemputan berkutbah di mana-mana, biasanya saya akan mendapat respon pujian dan kritikan. Beberapa kali saya juga pernah terperangkap dengan kesombongan dalam hati. Saat orang yang mendengar khotbah yang saya sampaikan memberi pujian atau menyatakan dia sangat diberkati, di dalam hati mulai timbul rasa senang, bangga, gembira dan merasa seperti “melayang-layang di udara”. Tetapi, jika ada orang yang memberi respon kurang mengerti atau mengatakan “Pastor, khotbah kamu hari ini kurang tajam”, maka saya merasa kecewa. Itulah tanda-tanda awal ego (kesombongan) kerana keinginan untuk memuaskan diri sendiri. Saya menyedari bahawa bukan mudah untuk melawan dan mengalahkan ego, namun saya temukan ada dua cara untuk melawannya. Pertama, sedari dan cari simptom atau tanda awal ego seperti ingin dipuji, dihargai, diterima; rasa kecewa saat ditolak atau tidak dihargai. Kedua, sedari bahawa kita hanya alat Tuhan dan hanya Tuhan yang layak menerima pujian, sanjungan dan kehormatan.

RENUNGKANLAH:

Yesaya 10:15 mengatakan, “Adakah kapak memegahkan diri terhadap orang yang memakainya, atau gergaji membesarkan diri terhadap orang yang mempergunakannya? Seolah-olah gada menggerakkan orang yang mengangkatnya, dan seolah-olah tongkat mengangkat orang yang bukan kayu?”. Kita hanyalah alat Tuhan. Dialah yang layak menerima pujian dan kehormatan di sebalik kekuatan yang ada pada kita.

FIKIR-FIKIRKANLAH....
...Jika Tuhan mengajukan kata-kata ini kepada Anda, apakah yang Anda akan minta dari Tuhan? Pilihlah A, B atau C. (A). Hikmat dan kebijaksanaan (Seperti yang diminta oleh Salomo dan itu diberikan Tuhan kepadanya. Baca: 1 Raja-Raja 3:9,11-14). (B). Dipakai Tuhan dengan luar biasa sehingga memenangkan jutaan orang percaya Yesus. (C). Hidup menyenangkan hati Tuhan.
...Dari A, B dan C, saya memilih “C”.
...Apakah Anda mahu menjadi seperti kapak yang memegahkan diri terhadap orang yang memakainya? Jika tidak....Matikanlah ego yang ada di dalam diri Anda.

“KEINGINAN YANG BERTENTANGAN DENGAN KEHENDAK TUHAN ADALAH AWAL DARI KEHANCURAN. HANCURKAN KEINGINAN ITU SEBELUM IA MENGHANCURKAN ANDA”

26 August 2009

PENYERAHAN HAK



“Barangsiapa mempertahankan nyawanya, ia akan kehilangan nyawanya, dan barangsiapa kehilangan nyawanya karena Aku, ia akan memperolehnya.”
Matius 10:39

Pada 12 Ogos 2009, sekitar jam 1.30 pagi, Saya bersama Pst. James Taju (GPI Batam, Indonesia, mentor kami di SIB Serdang) telah dirompak. Saya baru sahaja menjemput Pst. James dari LCCT (Air Asia) sekitar jam 12.40 tengah malam yang datang dari Manado dan akan menginap di rumah kami sebelum melanjutkan perjalanan balik ke Batam.

Waktu saya sedang membuka pintu pagar rumah kami untuk memasukkan kereta (van gereja) ke dalam, tiba-tiba 2 buah motorsikal bersama dengan 3 orang datang menghampiri kami. 2 orang dari mereka mendatangi saya dan 1 orang mendatangi Pst. James. Pada awalnya, saya berfikir mereka itu adalah di kalangan jemaat, tetapi saya tidak mengenali mereka. 2 orang yang mendatangi saya meminta sesuatu dari saya, tetapi saya kurang mengerti maksud mereka kerana masih terkejut dengan kehadiran mereka yang secara tiba-tiba. Dalam keadaan terkejut, salah seorang dari mereka tiba-tiba menumbuk bahagian mulut saya sehingga bibir bawah di sebelah kiri koyak dan saya rebah (darah mengalir dengan banyak). Lepas itu mereka ancam untuk memukul saya dengan senjata besi dan meminta handphone, jam dan dompet yang saya ada.

Ketika mereka sudah mendapatkan apa yang mereka inginkan, ada tiga hal yang terjadi dalam diri saya. Pertama, saya berdoa untuk melepaskan pengampunan kepada perompak itu. Kedua, saya serahkan semua yang mereka ambil dari saya kepada Tuhan kerana saya sedar semuanya adalah milik Tuhan ( Dalam dompet saya ada sedikit wang tunai, kad pengenalan saya, MyKid anak kami, dan beberapa kad bank). Ketiga, saya naikkan ucapan syukur kepada Tuhan kerana kecederaan ringan sahaja yang terjadi.

Saya sempat mengunci pintu pagar setelah kedua orang yang menyerang saya menuju ke arah Pst. James yang masih di dalam kereta. Saya juga sempat memanggil isteri saya yang di dalam rumah bersama anak kami (7 bulan dah umur dia hari ini) sebelum saya lari untuk mendapatkan bantuan dari orang lain. Saya sempat bimbang dengan keselamatan keluarga dan juga Pst. James yang masih dalam van ketika saya lari untuk mendapatkan bantuan.

Di belakang rumah kami, saya bertemu dengan seorang lelaki cina dan minta bantuan tetapi dia juga menyatakan yang baru sahaja dirompak (Malam itu ada 4 kejadian rompak di sekitar kawasan rumah kami). Seterusnya saya berlari ke sebuah apartemen di mana di situ ada pengawal keselamatan (sekuriti) dan dari mereka saya dapat menghubungi polis di Seri Kembangan. Lebih kurang 5 minit dari itu saya kembali ke rumah dan mendapati perompak dan Pst. James juga tidak ada di tempat kejadian. Saya bimbang juga memikirkan Pst. James, apakah dia selamat atau tidak. Tak lama dari itu kereta Polis tiba di tempat kejadian untuk mengawal keadaan dan mendapatkan maklumat. Setelah Polis datang, barulah Pst. James dan isteri saya keluar dari dalam rumah (Rupa-rupanya, Pst. James sudah masuk di rumah kami. Puji Tuhan semuanya selamat).

Pst. James dan isteri saya sempat terkejut dan tertanya-tanya dari mana darah yang banyak di tempat saya jatuh. Macam-macam yang timbul di fikiran ketika mereka melihat saya tidak ada di situ. Mungkin saya ditikam atau cedera teruk dan banyak lagi. Mereka sangat bersyukur setelah melihat keadaan saya kerana kecederaan yang saya alami tidak terlalu serius.

Setelah itu Polis nasihatkan kami untuk membuat laporan di balai polos Seri Kembangan. Saya dan Pst. James bergegas ke balai polis Seri Kembangan untuk membuat laporan polis. Lepas itu kami di minta untuk bertemu dengan pegawai penyiasat di balai polis Sri Serdang sebelum kami ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan. Kami hanya balik ke rumah sekitar jam 7 pagi kerana urusan laporan polis dan rawatan di hospital. Jadi sepanjang malam itu kami tidak tidur.

Ketika sampai di rumah dari hospital, saya sangat terhibur kerana ada 5 (sebenarnya 6 tetapi seorang dari mereka awal balik kerana perlu jalan awal untuk bekerja) orang jemaat yang terus setia menemani keluarga saya di rumah. Saya sangat terhibur dengan perhatian yang diberikan. Saya juga mendengar ada jemaat yang sanggup meredah hujan sekitar jam 6 pagi (di Semenanjung masih gelap tu) untuk mencari kedai yang menjual kredit handphone, kerana kredetnya habis dan dia cuba mendapatkan maklumat sebenar yang telah terjadi kepada kami. Siangnya, para pemimpin gereja datang ke rumah kami untuk memberi sokongan dan memberi dorongan kepada kami. Ramai teman-teman dan ahli keluarga yang menghubungi kami. Terima kasih yang tidak terhingga atas apa yang telah kamu lakukan.

Di sebalik dari peristiwa ini, saya mula memahami maksud Yesus di Matius 10:39. “Nyawa”, mewakili semua yang sangat berharga bagi kita. Yesus ajarkan, untuk mendapatkan sesuatu yang sangat berharga, jangan pertahankan tetapi lepaskan hak kepemilikan kita itu kepada Tuhan. Pagi itu, ketika saya melepaskan pengampunan, melepaskan hak kepemilikan dari semua yang diambil dari saya dan menaikkan ucapan syukur, saya sedar itu bukan kekuatan saya sendiri tetapi Roh Kudus yang telah memampukan saya untuk melakukannya kerana Dia ialah Penolong yang Yesus utus kepada setiap anak-anak-Nya (Yohanes 14:16-17).

Saya mahu kongsikan beberapa pelajaran penting dari peristiwa yang kami alami:

1. Kedatangan Yesus adalah seperti pencuri (Matius 24:43-44). Oleh itu kita harus senantiasa berjaga-jaga dengan cara tetap setia dan mengasihi Tuhan dengan sungguh-sungguh. Hati-hati juga dengan peragut atau perompak. Lebih baik nombor telefon balai polis yang terdekat senantiasa diingat.
2. Jangan pertahankan “nyawa” atau hak kepemilikan (Matius 10:39). Apa yang Anda sangat hargai, serahkan itu kepada Tuhan dengan cara melepaskan hak kepemilikan Anda kepada Tuhan.

UCAPAN SYUKUR: 1 Tesalonika 5:18

1. Tuhan masih memberi kesempatan untuk melaksanakan pekerjaan-Nya melalui saya di muka bumi ini.
2. Walaupun semua dompet, handphone, jam dan beberapa barang lain di ambil oleh perompak, tetapi ketika Pst. James minta pasportnya dari perompak itu, mereka berikan pada Pst. James.
3. Perhatian dan sokongan dari isteri, jemaat dan kawan-kawan, terhadap kami. Anda semua memberi banyak penghiburan kepada kami.

FIKIR-FIKIRKANLAH...

“Bersyukurlah dengan apa yang ada dan jangan kesali apa yang tidak ada atau yang hilang”

UNTUK MENGTAHUI LEBIH LANJUT TENTANG “PENYERAHAN HAK” SILA IKUTI EXCELLENT SERVENT CAMP (ESC) PADA 26-28 FEBRUARI 2010 DI MBS RAWANG. PASTI ANDA DIBERKATI.

17 June 2009

KEKUATAN BARU

“...tetapi orang-orang yang menanti-nantikan TUHAN mendapat kekuatan baru: mereka seumpama rajawali yang naik terbang dengan kekuatan sayapnya; mereka berlari dan tidak menjadi lesu, mereka berjalan dan tidak menjadi lelah.”
Yesaya 40:31

Baru-baru ini, saya mendapat SMS dari jemaat yang mengatakan, “Jika saya mengikuti kelas SPK(Kelas Pemuridan), saya merasa dikuatkan, tetapi ketika saya tidak dapat mengikutinya, saya merasa seperti tidak ada apa-apa makna dalam hidup saya (rasa kosong...jadi ada baiknya terus setia mengikuti kelas SPK).” Saya percaya, bukan hanya dia sahaja yang merasakan keadaan rohani seperti itu. Ramai anak-anak Tuhan yang merasa kekeringan rohani dan merasa tidak ada apa-apa makna dia mengikuti setiap aktiviti gereja. Kenapa? Salah satu penyebab yang saya temukan ialah kerana ramai orang percaya bergantung pada kekuatan yang dia alami satu tahun yang lepas, satu bulan yang lepas, satu minggu yang lepas atau kekuatan yang dia alami kelmarin. Pengalaman yang lalu itu baik, tetapi tidak semestinya akan dapat memberi kekuatan secara terus menerus.

Firman Tuhan dalam Yesaya 40:31 mengatakan orang yang menanti-nantikan TUHAN mendapat “KEKUATAN BARU”. Bererti kekuatan dalam Tuhan itu harus senantiasa baru. Bukan bergantung kepada kekuatan yang sudah berlalu. Firman Tuhan menegaskan, kekuatan yang Dia berikan itu bukan hanya ‘kekuatan’ tetapi ‘kekuatan baru’. Kekuatan baru itu diumpamakan seperti rajawli yang terbang dengan kekuatan sayapnya, berlari namun tidak menjadi lesu dan berjalan namun tidak menjadi lelah. Apakah rahasia mendapat kekuatan baru seperti itu? Jawabannya ialah : “Menanti-nantikan Tuhan.” Apakah makna sebenar dari “Menanti-nantikan Tuhan”?

1. HATI YANG ‘MELEKAT’ KEPADA TUHAN

“Sungguh, hatinya melekat kepada-Ku, maka Aku akan meluputkannya, Aku akan membentenginya, sebab ia mengenal nama-Ku”
Mazmur 91:14

Sebelum ayat ini, penulis Mazmur ini telah menyatakan janji-janji Tuhan. Salah satunya ialah: walau seribu rebah di sisimu, dan sepuluh ribu di sebelah kananmu, tetapi itu tidak akan menimpamu (Mazmur 91:7). Ini adalah janji Tuhan bagi orang yang “Hatinya melekat kepada-Ku”. Yesus berkata, “Di mana hartamu berada di situ juga hatimu berada” (Matius 6:21). Jika hati kita melekat pada Yesus; segala kuasa, kemuliaan dan kekuatan-Nya menyertai kita. Orang yang hatinya melekat pada Tuhan pasti menerima janji-janji Tuhan.

Kekuatan baru itu bukan sahaja berkaitan tentang apa yang kita rasakan tetapi tentang jaminan bahawa janji-janji Tuhan itu menjadi bahagian kita (Baca: Mazmur 91). Kepada siapa atau kepada apakah hati Anda melekat saat ini? Jika hati Anda melekat pada wang, harta, kepintaran, kerjaya, kecantikan atau ketampanan, semuanya itu hanya sementara. Itu akan berakhir dan tidak kuat. Jika hati Anda melekat pada Tuhan Yesus, pasti Anda mendapat kekuatan baru.

2. MELAKUKAN KEHENDAK TUHAN

“Ya Bapa-Ku, jikalau Engkau mau, ambillah cawan ini dari pada-Ku; tetapi bukanlah
kehendak-Ku. Melainkan kehendak-Mulah yang terjadi.”
Lukas 22:42

Yesus telah memenangi salib ketika Dia mengucapkan doa ini di taman Getsemani, pada malam sebelum Ia disalibkan. Yesus telah mengambil keputusan untuk melakuakan kehendak Bapa dan bukan kehendak-Nya sebagai manusia. Kekuatan sebenar dari Yesus, bukan kerana Dia lebih tahan dari kita saat dicambuk, dipukul dan disalibkan, tetapi kekuatan sebenar dari Yesus ialah Dia melakukan kehendak Bapa, apa pun harga yang harus dibayar.

Kehendak Bapa itu tidak boleh tawar-menawar dengan perasaan. Apakah kehendak Tuhan dalam hidup kita? Hidup dalam kebenaran firman Tuhan (Baca: Matius 7:21 & Yohanes 17:17). Perasaan mengatakan, tidak ada Tuhan, tidak ada hadirat-Nya, saat ibadah minggu terasa hambar; tetapi kebenaran mengatakan Tuhan hadir dalam segala waktu dan keadaan. Ketika Anda sendirian, merasa takut, kuatir atau kesunyian, anda merasa kosong; tetapi kebenaran mengatakan Yesus adalah Imanuel “TUHAN beserta kita”.

Orang yang melakukan kehendak Tuhan, sama dengan menanti-nantikan Tuhan. Menanti-nantikan Tuhan bukan bersifat pasif (tidak berbuat apa-apa), tetapi bersifat aktif; iaitu melakukan apa yang Tuhan kehendaki dalam hidup kita. Kehendak Tuhan di tempat kerjamu ialah agar Anda menjadi saksi Kristus. Bagaimana Anda menjadi saksi Kristus jika selalu terlambat waktu datang kerja? Masuk kerja sepatutnya sebelum jam 8 pagi, datang jam 8:15 pagi; rehat jam 12 tengah hari hingga jam 1 petang, tapi ‘lepak’ dengan kawan-kawan di kedai kopi Mamak dari jam 12 tengah hari hingga jan 1.30 petang; balik jam 5, jam 4.59 petang sudah ‘punch card’ (ayo..yo...susahlah kalau macam tu..gaman..). Itu bukan contoh melakukan kehendak Tuhan.

Yesus telah melakukan kehendak Bapa sehingga Ia katakan “Sudah selesai!” (Yohanes 19:30). Setiap saat (detik) yang Yesus lalui waktu di salibkan, dilalui-Nya dengan “Kekuatan Baru” kerana Dia bersukacita melakukan kehendak Bapa. Melakuakan kehendak Tuhan dalam hidup Anda akan menghasilkan kekuatan baru. Ada kekuatan baru menyertai, saat kita melakukan kehendak Tuhan.

3. MELAYANI TUHAN

“Sebaliknya, dalam segala hal kami menunjukkan, bahawa kami adalah pelayan ‘TUHAN’, yaitu: dalam menahan dengan penuh kesabaran dalam penderitaan, kesesakan dan kesukaran...”
2 Korintus 6:4


Saya percaya pada pernyataan ini, “Jika Anda tidak melayani TU-HAN, maka Anda melayani HAN-TU”. Hanya dua oknum ini yang manusia layani, iaitu: TUHAN, ATAU IBLIS (HANTU). Jika seseorang melayani manusia atau diri sendiri, untuk menyenangkan manusia atau untuk kepuasan diri sendiri, itu bererti dia melayani Iblis; bukan melayani diri sendiri atau manusia. Paulus menuliskan semua penderitaan yang dia alami saat melayani Tuhan, dalam 2 Korintus 6:4-10. Apa pun penderitaan yang dialami, Paulus menyatakan mereka tetap menjadi pelayan Tuhan. Ada kekuatan yang mengatasi semua penderitaan, kesesakan, kesukaran dan sebagainya, saat melayani Tuhan.

Menurut Anda apakah melayani Tuhan itu? Yesus mengatakan dalam Matius 25:40 "Aku berkata kepadamu, sesungguhnya segala sesuatu yang kamu lakukan untuk salah seorang saudara-Ku yang paling hina ini, kamu telah melakukannya untuk Aku." Sebelum ayat 40, Yesus mengatakan "Ketika Aku lapar, kamu memberi Aku makan; ketika Aku haus, kamu memberi Aku minum; ketika Aku seorang asing, kamu memberi Aku tumpangan; ketika Aku telanjang, kamu memberi aku pakaian; ketika Aku sakit, kamu melawat Aku; ketika Aku di dalam penjara, kamu mengunjungi Aku" Matius 25:35-36. Melakukan kebaikan kepada orang yang ‘paling hina’ adalah salah satu bentuk pelayanan kepada Tuhan. Pastinya, semua itu kita lakukan kerana hati kita digerakkan oleh belas kasihan Tuhan. Oleh itu, segala sesuatu yang kita lakukan bila itu ditujukan kepada Tuhan, kita sebenarnya sedang melayani Tuhan.

Ketika Anda menyedari bahawa setiap saat, Anda melayani Tuhan dalam apa saja aktiviti (kegiatan) atau pekerjaan yang Anda lakukan, pasti ada “kekuatan baru”; kerana Anda sedar, apa yang Anda lakukan, semuanya untuk Tuhan.

RENUNGKAN:

Kekuatan baru adalah suatu kemampuan untuk menghadapi apa saja keadaan dengan hati yang tenang, penuh sukacita serta bersemangat (Antusias!). Kekuatan baru itu dihasilkan melalui hubungan kita dengan Tuhan dalam hal “Menanti-nantikan Tuhan”. Menanti-nantikan Tuhan bukan hanya bermaksud tetap berdoa dan senantiasa merenungkan firman Tuhan (4M), tetapi juga berkaitan dengan “Hati yang melekat pada Tuhan”, “Melakukan kehendak Tuhan” dan “Melayani Tuhan”. Jangan hanya menanti-nantikan Tuhan dengan sikap pasif tetapi nantikan Tuhan dengan tindakan aktif.

FIKIR-FIKIRKANLAH...

...Menurut Anda, apakah maksud sebenar “Melayani Tuhan”?
...Menurut Anda, apakah maksud “Menanti-nantikan Tuhan”?
...Jangan bersandar pada kekuatan yang engkau alami hari ini sahaja, alamilah ‘Kekuatan Baru” setiap saat.
...Tujuan dari “Kekuatan Baru” ialah agar Anda menikmati kasih, kuasa dan kehadiran Tuhan setiap saat dalam hidup.

16 June 2009

KEBAIKAN TUHAN

Roma 8:28
“Kita tahu sekarang, bahawa ‘TUHAN’ turut bekerja dalam segala sesuatu untuk mendatangkan kebaikan bagi mereka yang mengasihi Dia, yaitu bagi mereka yang terpanggil sesuai dengan rencana ‘TUHAN’.”

Dalam ayat ini Paulus mengatakan, “Kita tahu SEKARANG...”. Bererti, sebelumnya ada sesuatu yang kita tidak tahu sebelumnya.

Ada cerita klasik tentang seorang bapa dan bayi mereka yang masih kecil. Ketika bapa itu keluar untuk sementara waktu dari rumah mereka, bayinya dijaga oleh anjing mereka yang sangat baik dan prihatin. Ketika kembali ke rumah, anjing itu menyambut bapa itu dengan riang sekali sambil mengibas-ngibaskan ekornya; tetapi bapa itu tiba-tiba menjadi sangat marah kerana mulut anjing itu dilumuri darah! Tanpa berfikir panjang, bapa itu mengambil senapang dan menembak mati anjingnya itu. Anda tahu apa yang terjadi? Ketika bapa itu kembali ke buaian bayinya, didapatinya seekor ular sawa yang besar sudah mati kerana digigit oleh anjingnya. Rupa-rupanya, anjing itu telah mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan bayi itu dari ular sawa tersebut. Setelah membunuh anjingnya, melihat ular sawa yang sudah mati dan bayinya dalam keadaan selamat; barulah dia dapat katakan, “Saya tahu sekarang, anjing saya itu menyambut saya dengan gembira kerana berjaya menyelamatkan anak saya dari ular sawa.” Bapa itu telah mengambil kesimpulan, darah pada mulut anjing itu adalah darah anaknya, sehingga dia bertindak tanpa usul periksa, sehingga membuat bapa itu mengambil tindakan drastik iaitu membunuh anjingnya.

Sering kali kita bertindak terburu-buru menuduh TUHAN tidak adil atau TUHAN tidak memperdulikan, saat kita berhadapan dengan masalah. Namun, firman Tuhan dalam Roma 8:28 ini, kita dapat pelajari 4 perkara berkaitan dengan “Kebaikan Tuhan” dalam hidup kita.

1. TUHAN TIDAK PERNAH MERENCANAKAN AKHIR YANG JAHAT

Yeremia 29:11
“Sebab Aku ini mengetahui rancangan-rancangan apa yang ada pada-Ku mengenai kamu, denikianlah firman TUHAN, yaitu rancangan DAMAI SEJAHTERA dan bukan rancangan kecelakaan, untuk memberi kepadamu hari depan yang penuh harapan.”

Seorang profesor sedang memperhatikan seekor kupu-kupu berusaha keluar dari kepompongnya. Dia melihat begitu payahnya kupu-kupu itu cuba keluar kerana lobang kepompong itu sangat kecil dibanding dengan ukuran badannya. Profesor itu membesarkan lobang kepompong itu dengan harapan kupu-kupu itu dapat keluar dengan mudah dan cepat. Kupu-kupu itu dapat keluar dengan mudah, tetapi beberapa minit kemudian kupu-kupu itu mati. Profesor itu membuat penelitian kenapa kupu-kupu itu mati? Akhirnya ditemukan bahawa sebenarnya kesulitan untuk keluar dari lobang yang kecil itu adalah untuk kebaikan bagi kupu-kupu. Kupu-kupu itu mati kerana ia tidak dapat mengembangkan sayapnya dan perutnya terlalu berat. Kesulitan untuk keluar dari kepompong itu bertujuan supaya isi perutnya keluar sehingga meminyaki sayap dan seterusnya membuat sayapnya mudah dikembangkan dan perutnya kempis, seimbang dengan kekuatan sayapnya saat keluar nanti.

Tuhan tidak pernah merencanakan sesuatu yang jahat kepada Anda. Dia merencanakan bahkan Dia sangat tahu rencana-Nya iaitu untuk damai sejahtera dan hari depan yang penuh harapan dalam hidup Anda. Walaupun sekarang Anda tidak mengetahui apa kebaikan dari semua yang Anda hadapi atau alami, namun percayalah Tuhan merencanakan kebaikan dalam hidup Anda. Apapun yang Tuhan izinkan berlaku dalam hidup Anda, di dalam Kristus, akhirnya ada kebaikan yang luar biasa.

2. TUHAN MENGGUNAKAN “SEGALA SESUATU” UNTUK KEBAIKAN

Kejadian 50:20
“Memang kamu telah mereka-rekakan yang jahat terhadap aku, tetapi “TUHAN” telah mereka-rekakannya untuk kebaikan, dengan maksud melakukan seperti yang terjadi sekarang ini, yakni memelihara hidup suatu bangsa yang besar.”

Sebelum Yusuf menjadi orang kanan Firaun iaitu sebagai Perdana Menteri Mesir, dia telah melewati banyak hal yang tidak menyenangkan. Dia dianiaya oleh saudara-saudaranya sehingga dijual kepada kalifah orang Ismael (Kejadian 37:25). Dibeli oleh Potifar (Pegawai Firaun) sebagai hamba (Kejadian 38:1). Difitnah cuba merogol oleh isteri Potifar yang kesal kerana Yusuf tidak melayan keinginan nafsunya (isteri Potifar), menyebabkan Yusuf dipenjarakan (Kejadian 37:11-20). Tetapi akhirnya, semua kesulitan yang Yusuf lalui telah membawa dia kepada penggenapan rencana Tuhan yang dinyatakan melalui mimpinya beberapa tahun sebelumnya; iaitu dia akan menjadi orang yang berkuasa (Kejadian 37:5-11). Melalui Yusuf, bapa dan semua saudara-saudaranya terpelihara dari kebuluran, bahkan keturunan Yakub diberi tempat yang terbaik di Mesir.

Yusuf tidak pernah mempersalahkan saudara-saudaranya, Potifar dan isteri atau keadaan, apalagi mempersalahkan Tuhan, melalui kesusahan yang ia lalui. Dia tidak berfikir bahawa rencana TUHAN untuk damai sejahtera dan hari depan yang penuh harapan itu telah gagal oleh kerana kesusahan yang dia alami. Di akhir dari semuanya itu, disimpulkan di Kejadian 50:20 iaitu TUHAN yang telah mereka-rekakannya untuk kebaikan. Bererti, TUHAN menggunakan “segala sesuatu”, baik kesusahan atau kesenangan, untuk mendatangkan kebaikan-Nya kepada kita.


3. TUHAN MENDATANGKAN KEBAIKAN TEPAT PADA WAKTU-NYA

Pengkhotbah 3:11a
“Ia (TUHAN) membuat segala sesuatu indah pada waktunya...”

Saya mengenal isteri saya sejak tahun 1999. Kami mula ada komitmen untuk masuk dalam hubungan pernikahan sejak tahun 2000. Namun, 7 tahun kemudian, Pengkutbah 3:11 digenapi; “Ia membuat segala sesuatu indah pada waktunya...”. 1 Januari 2007, kami melangsungkan perkahwinan di SIB Likas, disaksikan oleh ibubapa, saudara-saudara, para pemimpin rohani dan teman-teman. Di hari perkahwinan, kami mengambil tema “Segala sesuatu indah pada waktunya”, kerana kami sedar itulah waktu Tuhan yang tepat dan indah bagi kami.

Ada pepatah mengatakan, “Penanitan adalah suatu penyiksaan”. Saya mau katakan, penantian itu bukan penyiksaan, tetapi penantian itu membuat segala sesuatu indah pada waktu Tuhan. Mungkin Anda sudah lama menantikan kehadiran cahaya mata setelah bertahun-tahun lamanya menikah. Sudah berusia 30an, namun belum ada calon pasangan hidup atau sudah lama melamar pekerjaan tetap, tetapi sehingga kini belum mendapatkannya. Waktu Tuhan, tidak sama dengan waktu Anda. Pada waktu-Nya, Anda pasti akan sangat bersukacita atas apa yang Tuhan izinkan berlaku pada Anda.

4. ORANG YANG MENGASIHI TUHAN “PASTI” MENIKMATI KEBAIKAN-NYA

Roma 8:28
“Kita tahu sekarang, bahawa ‘TUHAN’ turut bekerja dalam segala sesuatu untuk mendatangkan kebaikan bagi mereka yang mengasihi Dia, yaitu bagi mereka yang terpanggil sesuai dengan rencana ‘TUHAN’.”

Ramai orang mengejar kebaikan Tuhan. Tetapi firman Tuhan di Roma 8:28 ini mengatakan; “...kebaikan bagi mereka yang MENGASIHI DIA”. Apa hubungan antara mengasihi Tuhan dan kebaikan-Nya? Kebaikan Tuhan itu diberikan kepada semua orang. Dia memberikan matahari, oksigen, graviti, pertumbuhan pada tanam-tanaman, hujan dan banyak lagi. Tetapi, dari semua orang yang menerima kebaikan Tuhan itu, belum tentu mereka menikmatinya. Orang yang mengasihi Tuhan bukan sahaja menerima tetapi menikmati kebaikan Tuhan. Buktinya apa? Melalui pengucapan syukur. Orang yang mengasihi Tuhan pasti mengucap syukur dalam segala hal (1 Tesalonika 5:18).

Mengasihi Tuhan adalah mempercayai Tuhan dalam apa saja keadaan, iaitu; Tuhan mendatangkan kebaikan melalui semua situasi yang dihadapi.

RENUNGKAN:

Ketika sedang minum petang bersama dengan anak buah saya, dia dikejutkan dengan SMS dari seorang teman kami. SMS itu berbunyi: “Pertama sekali saya minta maaf atas segala kesalahan saya terhadap kamu. Halalkan makan-minum saya. Tolong sampaikan kepada teman-teman kita, katakan saya minta maaf atas segala kesalahan saya selama ini. Katakan pada mereka bahawa saya sangat mengasihi mereka. Saya rasa kita tidak dapat jumpa lagi. Mungkin inilah SMS saya yang terakhir. Simpanlah ia untuk mengingati diri ini, kerana setiap yang hidup pasti akan mati....”

Apa yang terjadi dengan dia? Dia ada masalah yang serius? Mungkin dia akan bunuh diri? Itulah antara yang terlintas difikirannya ketika membaca SMS dari teman kami. Ketika saya membaca SMS yang dihantar oleh teman kami kepada anak buah saya, rupa-rupanya SMS itu tidak berakhir di situ sahaja. Di bawahnya dituliskan : “...Saya terpaksa pergi...Ke Jepun....Untuk membantu Ultraman kalahkan raksasa belalang...” Hal yang difikirkan serius akhirnya menjadi perkara yang sangat lucu bagi kami.

Dalam perjalanan hidup dengan Tuhan, Dia tidak berhenti hanya pada sepotong cerita dari bahagian hidup Anda yang penuh damai sejahtera dan penuh harapan. Ketika anda putus percintaan, dipecat dari kerja atau tidak dihargai dalam pelayanan, pasti ada akhir yang baik dari semuanya itu. Walaupun Anda menghadapi semuanya itu, iangatlah firman Tuhan; “...‘TUHAN’ turut bekerja dalam segala sesuatu untuk mendatangkan kebaikan bagi mereka yang mengasihi Dia..”. Jika Anda mengasihi Tuhan, PASTI, Anda akan menikmati kebaikan dari semua situasi yang Anda alami.

FIKIR-FIKIRKANLAH:

.... Jangan bertanya kepada Tuhan: Kenapa semua ini terjadi? Tetapi, katakan pada Tuhan: Buatlah saya mengerti maksud-Mu dari semuanya ini.

“BERHENTILAH MEMUSATKAN PADA APA YANG ANDA TIDAK DAPAT LAKUKAN, DAN MULAILAH PUSATKAN PERHATIAN PADA APA YANG TUHAN DAPAT LAKUKAN”
Joel Osteen

13 June 2009

TAKUT AKAN TUHAN

Pada 9-11 Jun 2009, seramai 127 orang pastor, isteri pastor beserta anak-anak dari seluruh SIB Semenanjung, telah berkumpul di NUBE Hotel, Port Dckson (75 dewasa & 52 kanak-kanak dan remaja). Hampir semua pastor dalam gereja SIB telah menghadiri retret ini (dalam 95%). Suatu pengalaman yang sangat menyegarkan dan memberkati. Kami sekeluarga juga telah turut serta dalam retret ini. Perjalanan dari Serdang ke Port Dickson mengambil masa 1 jam 30 minit (pelan-pelan 80kmj...lah).

Saya sangat kagum dengan pastor-pastor yang agak jauh dari Port Dickson (PD). Ada di kalangan Pastor yang menempuh perjalanan kira-kira 4 hingga 8 jam dari tempat mereka ke PD. Saya menyaksikan semangat, kehausan dan kerendahan hati para hamba Tuhan yang datang.

Seorang Pastor memberi kesaksian pengucapan syukur kerana pemeliharaan Tuhan. Sehari sebelum ke retreat pastor di PD, dia mengalami kemalangan jalan raya. Ketika membelokkan kereta proton iswaranya ke simpang kiri, tiba-tiba sebuah motorsikal yang ditunggang oleh seorang wanita melanggar dia dari tepi kiri. Dia bersama isteri dan dua orang anak tidak mengalami apa-apa kecaderaan bahkan kereta mereka tidak mengalami apa-apa kerosakan. Tetapi penunggang motorsikal itu cedera parah, dan dia sendiri yang membawa wanita tersebut ke hospital sebelum dia membuat laporan polis berkenaan kemalangan tersebut. Pihak polis mengesahkan dia tidak melakukan kesalahan dalam insiden itu sebab dia sudah memasang lampu isyarat dari jauh sebelum memasuki simpang tersebut dan dia dilanggar oleh motorsikal itu dari tepi kiri (bukan laluan memotong). Bagaimanapun, dia telah melakukan yang sepatutnya sebagai anak Tuhan iaitu dia bertanggung jawab menghantar wanita itu ke hospital. Keesokan harinya dia ingin bertemu dengan wanita itu tetapi pihak hospital katakan dia sudah keluar dari hospital. Dalam keadaan yang masih trauma, dia dan keluarga masih meneruskan penyertaan ke retreat pastor walaupun tidak cukup tidur akibat insiden itu. Saya sangat mengagumi komitmennya.

Saya percaya, firman Tuhan yang dikongsikan oleh Pastor Lam Kee Hing (SIB Skyline, Kota Kinabalu, Sabah), telah memberkati semua peserta retret. Bertemakan “Takut Akan Tuhan”, merupakan suatu retret yang menyingkapkan kebenaran firman Tuhan; bukan sekedar untuk diketahui, dimengerti atau disampaikan, tetapi sungguh-sungguh harus dipraktikkan.

Kalau Anda bertanya: Kenapa ramai pastor, pemimpin gereja atau sekular, bahkan anak-anak muda; melakukan dosa atau kejahatan dengan cara sembunyi-sembunyi? Jawabannya ialah kerana “Tidak takut akan Tuhan”. Kerana tidak ada orang yang melihat, mengetahui atau menyedari dosa atau kejahatan yang dilakukan, maka dia lakukan perkara itu. Perzinahan, penipuan, mencuri, menonton atau membaca hal-hal porno (lucah) dan banyak lagi kejahatan; dilakukan secara sembunyi-sembunyi, kerana tidak ada rasa takut akan Tuhan.

Dalam bahasa asli, takut akan Tuhan itu membawa 2 pengertian. Pertama: ‘Yirah’ (Ibrani) atau ‘Phobeo’ (Yunani), yang bererti rasa takut yang menyebabkan kehormatan; termasuk emosi seperti kehormatan, sanjungan tinggi dan kekaguman. Kedua: ‘Pachad’ (Ibrani), bererti takut yang dasyat. Perkataan ini biasa dipakai dalam konteks orang berdosa yang belum bertobat sedang ketakutan kerana menghadapi hukuman Tuhan.

Keluaran 20:18-21 menggambarkan dua jenis takut akan Tuhan. Pertama: Bangsa Israel. Mereka takut berhadapan dengan Tuhan kerana takut mati akibat dosa mereka; lalu menjauhkan diri dari TUHAN. Kedua: Musa. Musa seorang yang takut akan Tuhan, tetapi dia tidak menjauhkan diri dari TUHAN malah dia mendekat kepada Tuhan. Pada masa kini, takut akan Tuhan bukan membuat kita takuti Dia sehingga menjauhkan diri dari Dia. Takut akan Tuhan akan membuat kita menjauhkan diri dari segala dosa dan mengasihi Tuhan dengan sungguh-sungguh melalui ketaatan pada firman-Nya.

Di dunia ini, kita tidak kekurangan orang yang kaya, pintar, berbakat, berpendidikan tinggi, berkarisma, memiliki pelayanan yang sangat berkesan dan luar biasa, tetapi apakah Tuhan menemukan orang seperti Ayub? Ayub 1:8 mengatakan: “Lalu bertanyalah TUHAN kepada Iblis: Apakah engkau memperhatikan hamba-Ku Ayub? Sebab tiada seorangpun di bumi seperti dia, yang demikian saleh dan jujur, yang takut akan ‘TUHAN’ dan menjauhi kejahatan.” Di hadapan Iblis sendiri, Tuhan sangat bangga dan memuji Ayub; seorang yang kaya raya dan takut akan Tuhan.

Mungkin Anda disanjung, dihormati atau dibanggakan oleh orang lain; tetapi apakah Tuhan bangga terhadap hidup Anda di hadapan Iblis? Atau Iblis yang bangga terhadap Anda di hadapan Tuhan? Tuhan tidak bangga atas hidup kita kerana karisma, kekayaan, kejayaan, setia melakukan hukum-hukum ugama; tetapi Tuhan bangga kepada setiap orang yang “Takut Akan DIA”.

Orang yang “Takut Akan Tuhan”, akan diuji dengan dua hal:

1. KESUSAHAN

Ayub diuji dengan kesusahan melalui kematian semua anaknya (Ayub 1:13-15) dan semua ternakan mati (Ayub 1:16-19) dalam satu hari sahaja. Namun respon Ayub adalah: “Dengan telanjang aku keluar dari kandungan ibuku, dengan telanjang juga aku akan kembali ke dalamnya. TUHAN yang memberi, TUHAN yang mengambilnya, terpujulah nama TUHAN.” Kesusahan Ayub tidak berakhir sampai di situ, dia akhirnya jatuh sakit, sangat miskin bahkan imannya kepada Tuhan dipertikai oleh isterinya sendiri, sehingga isterinya menyuruh Ayub mengutuki TUHAN (Ayub 2:7-9). Bagaimanapun, Ayub tetap teguh dalam imannya sehingga dia menegur isterinya: “Engkau berbicara seperti orang gila! Apakah kita mau menerima yang baik dari ‘TUHAN’ tetapi tidak mau menerima yang buruk?.” Firman Tuhan mengatakan, “Dengan itu Ayub tidak berbuat dosa dengan bibirnya.” (Ayub 2:10).

1 Korintus 10:13 mengatakan: “Pencobaan-pencobaan yang kamu alami ialah pencobaan biasa, yang tidak melebihi kekuatan manusia. Sebab ‘TUHAN’ setia dan kerana itu Ia tidak akan membiarkan kamu dicobai melampaui kekuatanmu. Pada waktu kamu dicobai Ia akan memberikan kepadamu jalan ke luar, sehingga kamu dapat menanggungnya.” Apakah Anda berpendapat bahawa pencobaan yang Ayub hadapi adalah “pencobaan biasa”? Di hadapan Tuhan, Ayub sanggup menghadapi semua pencobaan itu, kerana Dia tahu tahap kekuatan Ayub. Kesusahan apapun yang Ayub hadapi tidak akan membuat dia mempersalahkan atau menjauhkan diri dari Tuhan, kerana dia hidup dalam “Takut Akan Tuhan”.

2. KEJAYAAN

Sebelum dicobai dengan kesusahan, Ayub seorang yang berjaya. Anak lelakinya 7 orang, perempuan 3 orang, 7,000 ekor kambing domba, 3,000 ekor unta, 500 pasang lembu, 500 ekor keledai betina, pembantu yang sangat banyak dan terkaya dari semua orang di sebelah Timur (Ayub 1:2-3). Walaupun sangat kaya, tetapi Ayub 1:1 mencatat: “...Ayub...saleh dan jujur, Takut akan ‘TUHAN’ dan menjauhi kejahatan.” Dia seorang yang takut akan Tuhan.

Setelah dicobai dari kesusahan, Alkitab mencatat : “...TUHAN memberikan kepada Ayub dua kali lipat dari segala kepunyaannya dahulu.” Bererti, Ayub lebih kaya dari sebelum ia dicobai. Tuhan memberkati Ayub dengan 7 orang anak lelaki, 3 orang anak perempuan (Yemima, Kezia dan Kerenhapukh. Mereka diberi milik pusaka dan merupakan gadis yang tercantik di negeri mereka), 14,000 ekor kambing domba, 6,000 ekor unta, 1,000 pasang lembu dan 1,000 ekor keledai betina (Ayub 42:12-15). Ayub juga diberi kesempatan untuk menikmati kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan selama 140 tahun lagi, bahkan sempat melihat anak-cucu sampai keturunan ke empat (Ayub 42:16). Bayangkan 140 tahun menikmati kejayaan dan hidup dalam “Takut Akan Tuhan”.

Orang yang takut akan Tuhan tidak mengejar kejayaan, tetapi kejayaan yang mengejarnya. Orang-orang di sekeliling Ayub digerakkan TUHAN untuk memberkati hidup Ayub (Ayub 42:11). Mazmur 23:6 mengatakan : “Kebajikan dan kemurahan belaka akan mengikuti aku, seumur hidupku...” Iman orang yang takut akan Tuhan tidak akan gugur oleh kerana kejayaan.

RENUNGKAN:

Ayub seorang yang “Takut Akan Tuhan”. Tuhan tahu; kerana Ayub takut akan Dia, maka Ayub dapat menghadapi apapun kesusahan yang dihadapi dan Ayub dapat dipercayakan sebanyak manapun harta kekayaan. Apakah Anda sanggup menghadapi apa saja kesusahan atau dapat dipercayakan sebanyak mungkin kekayaan, kerana Anda “Takut Akan Tuhan”?

Doa saya adalah... Anda dan Saya menjadi Ayub-Ayub yang takut akan Tuhan; yang dapat diizinkan Tuhan melewati kesusahan apa pun kerana Yesus Kristus dan dapat dipercayai dengan kejayaan yang luar biasa.

Fikir-fikirkanlah.....

.....Berkat 2 kali lipat itu tidak bererti isteri Ayub pun 2 kali lipat.
.....Mungkin Tuhan sudah siap memberkati hidup Anda berlimpah-limpah (Kekayaan, isteri/suami, anak-anak, pekerjaan, kurnia, pelayanan dan banyak lagi), tetapi Dia melihat Anda belum siap menerimanya kerana Dia tahu jika Anda belum siap...KEJAYAAN akan menjatuhkan anda.

“Perkara yang menakjubkan mengenai takut akan Tuhan ialah, apabila Anda takut akan Tuhan, Anda tidak akan takut apa-apa pun; manakala jika Anda TIDAK takut akan Tuhan, Anda akan takut segala-galanya.” Oswald Chambers

08 June 2009

MAKSIMUMKAN POTENSI ANDA

Markus 6:38
Tetapi Ia berkata kepada mereka: “Berapa banyak roti yang ada padamu? Cobalah periksa!” Sesudah memeriksanya mereka berkata: “Lima roti dan dua ikan”.

Seperti 5 roti dan 2 ikan yang telah menjadi berkat kepada lebih 5 ribu orang (Markus 6:44), demikian juga hidup kita. Tuhan ingin agar kita memaksimumkan potensi kita untuk menjadi berkat bagi ramai orang. Bagaimana kita memaksimumkan hidup kita untuk menjadi berkat?

1. SERAHKAN “APA YANG ADA” KEPADA YESUS

“Berapa banyak roti yang ada padamu?...”

Yesus bertanya kepada murid-murid-Nya: “Berapa banyak roti YANG ADA PADAMU?”. Dia tidak bertanya, mencari atau meminta apa yang TIDAK ADA. Yesus bertanya kepada Anda hari ini: “Apa yang ada padamu?”

Kenapa ramai orang percaya tidak maksimum dalam hidupnya? Salah satu sebabnya ialah pengabaian kepada apa yang ada padanya. Ada orang yang bekerja di kebun getah orang lain. Mereka bekerja menoreh getah dengan upah dalam kiraan 50% untuk pemilik kebun dan 50% untuk pekerja. Sebenarnya pekerja itu memiliki tanah sendiri tetapi tidak diusahakan. Jika diusahakan, pendapatannya akan melebihi apa yang diterimanya dengan bekerja pada orang lain. Inilah salah satu contoh tidak menggunakan “Apa yang ada”.

Anda yang ada kemampuan atau minat dalam penulisan. Kenapa tidak kembangkan untuk menulis buku? Anda yang ada kemahiran untuk memasak. Kenapa tidak mulakan perniagaan berasaskan makanan? Kemahiran itu bukan untuk keluarga Anda sahaja. Kemahiran itu adalah “Apa yang ada”, jika diserahkan kepada Tuhan dan Anda mula gunakan potensi itu, ia akan menghasilkan berkat yang lebih besar dari yang anda fikirkan.

Jika kurnia Anda adalah melayani (Penyediaan makanan di gereja, penyambut jemaah, mempastikan kebersihan dan kecantikan gereja) tidak perlu Anda berusaha untuk menjadi pengkhotbah jika itu bukan kurnia Anda. Maksimumkan “apa yang ada”.

Saya ada seorang teman. Pada pandangan saya, dia adalah salah seorang pemain ‘drum’ terbaik dari gereja SIB. Satu waktu dia katakan kepada saya, “Pastor, sebenarnya saya lebih suka memimpin pujian dan penyembahan daripada main ‘drum’.” Pada waktu itu, cara dia memainkan alat muzik itu (drum) cuma “biasa-biasa” sahaja; tetapi saya memotivasi dia, agar dia meningkatkan potensi yang “ada padanya”. Sekarang, dia bukan sahaja pemain ‘drum’ yang “WOW!” atau EXCELLENT, tetapi juga pemimpin pujian dan penyembahan yang sangat memberi inspirasi saat memuji dan menyembah Tuhan.

Seorang yang bernama Colonel Harland Senders telah mewarisi resepi ayam goreng dari nenek moyang melalui ibunya sejak berusia 6 tahun. Selama 65 tahun dia bertukar-tukar kerja dari pembina landasan keretapi, peguam armatur, jurujual insuran, perniagaan kedai gunting rambut, penjual tayar dan pengurus stesen minyak. Ketika berusia 40 tahun dia pernah menyediakan hidangan ayam goreng dari resepi nenek moyangnya kepada para pelancong dan akhirnya menjadi popular dikalangan pelancong, namun akhirnya terhenti begitu saja. Pada usia 65 tahun resepi yang diwarisinya telah menjadi begitu terkenal dan menjadi perniagaan francais. Kini, apa yang diusahakan Senders menjadi sangat terkenal di seluruh dunia iaitu “Kentucky Fried Chicken: KFC” (Kalau ada yang mau belanja saya makan KFC... pasti tidak ditolak..dipersilakan..saya menunggu jemputan...). Akhirnya Senders menemukan bahawa potensi yang besar yang ada padanya, bukan apa yang “tidak ada” tetapi “apa yang ada” padanya iaitu resepi ayam goreng yang diwarisinya. 65 tahun lamanya potensi itu tidak maksimum. Ketika Senders meninggal dunia pada usia 90 tahun, restoran KFC sudah ada di seluruh dunia.

Mulakanlah dengan “APA YANG ADA” pada Anda. Tanah, harta, kemahiran, bakat, kurnia dan banyak lagi. Serahkan pada Yesus untuk Anda memaksimumkan apa yang ada supaya menjadi berkat yang besar. Lima roti dan dua ikan, tetap lima dan dua, jika tidak diserahkan kepada Yesus. Potensi yang ada pada Anda akan maksimum dan menjadi berkat, bila Anda menyerahkannya pada Yesus dan mula menggunakannya.

2. BERUBAH DARI “ATAU” KEPADA “DAN”

“Lima roti dan dua ikan”.

Yesus melakukan mujizat memberi makan kepada lebih 5000 orang dari hanya lima roti dan dua ikan sahaja. Yesus tidak menerima roti “ATAU” ikan, tetapi roti “DAN” ikan. Jika Yesus menerima makanan itu dengan kata “Atau”, Dia harus memilih salah satu dari roti atau ikan; tetapi Yesus menerima makanan itu dengan menggunakan kata “Dan” iaitu dia menerima kedua-duanya. Tidak terjadi pemisahan atau pengasingan di sini.

Kata “atau” ini sering saya dengar dalam pelayanan saya. Satu kali seorang pegawai kerajaan menyatakan perkara doanya: “Doakan saya, agar saya tahu di mana kehendak Tuhan kepada saya. Terus berkhidmat dengan kerajaan atau melayani Tuhan penuh masa.” Tetapi ketika dia mendengar dan mengerti kebenaran firman Tuhan ini, dia menemukan jawaban dari doanya dan mula praktikkan: “Saya adalah pegawai kerajaan DAN pelayan Tuhan sepenuh masa (Sepenuh hati).” Dia bekerja dengan penuh sukacita, semangat dan bertanggung jawab (Excellent), dan melayani Tuhan dengan sungguh-sungguh walaupun dalam keadaan penat atau harus memberi kewangannya sendiri untuk melayani Tuhan. Saya sangat diberkati dengan jemaah ini. Sepatutnya, semua anak-anak Tuhan harus berfungsi dengan kata “DAN” dan bukan “ATAU” dalam konteks memaksimumkan potensi kita sesuai dengan standard Tuhan (Bukan yang berkaitan dengan dosa).

Saya mengenal seorang doktor perubatan. Dia mempunyai klinik sendiri. Tetapi pada masa yang sama dia adalah pastor. Dahulu dia katakan: “Saya adalah doktor dan pastor”. Tetapi kerana fokusnya lebih kepada panggilannya sebagai pastor, maka sekarang dia katakan: “Saya adalah pastor dan doktor”. Dia tidak menguburkan potensi yang ada padanya oleh kerana kata “atau”, sebab dia tahu bagaimana memaksimumkan potensi yang ada padanya iaitu dengan kata “DAN”.

Anda mungkin pekerja biasa sahaja, tetapi Anda boleh berfungsi lebih dari itu. Anda boleh berfungsi sebagai mekanik dan pengkhutbah, pegawai kerajaan dan pelayan Tuhan di gereja. Anda mungkin seorang pastor dan peniaga yang berhasil.

Saya ada kerinduan untuk ini: “Saya adalah pastor, penceramah motivasi (bukan saja di gereja), pengkhutbah dan penulis buku.” Bukan : “Saya adalah pastor atau penulis buku. Pengkhutbah atau penceramah motivasi.” Jika saya berfikir dengan kata “Atau”, saya akan membuat pengasingan, menguburkan dan seterusnya mematikan potensi yang sebenarnya Tuhan telah tanamkan dalam diri saya.

Matius 25:14-30, menceritakan tentang tiga orang yang diberi talenta. Ada yang diberi 5 talenta, 2 talenta dan 1 talenta. Yang diberi 5 talenta telah menghasilkan 5 talenta, jadi semuanya 10. Yang diberi 2 talenta menghasilkan 2 talenta, jadi semuanya 4. Tetapi yang diberi 1 talenta, bertindak menguburkan talenta itu sehingga talenta itu tidak digunakan dan menghasilkan apa-apa. Akhirnya, yang diberi 1 talenta itu dihukum, dan talentanya diberikan kepada orang yang memiliki talenta lebih banyak. Dari perumpamaan ini, Yesus mengajarkan bahawa Dia tidak bertanya kepada kita, “Berapa talenta, potensi, kemahiran atau kurnia yang ada padamu?” Tetapi, Dia akan bertanya, “Adakah kamu telah mengenal pasti dan melaksanakan talenta, potensi, kemahiran atau kurnia yang ada padamu?”. Apakah Anda akan menjawab pertanyaan ini dengan kata “YA”? Atau jawaban Anda masih “TIDAK”. Jawablah sendiri....

RENUNGKAN:

Mula gunakan semua potensi yang Tuhan telah percayakan kepada Anda. Satu saat, Tuhan akan temukan bahawa Anda telah menjalankan kesemua potensi yang ada pada Anda secara maksimum, kerana semuanya Anda serahkan ke dalam tangan-Nya dan Anda mengerjakannya dengan setia.

Nota: Kepada Muda-Mudi....

Jika Anda sedang mencari pasangan hidup, jangan gunakan kata “Atau” atau “Dan”. Memilih : “Siti....atau Maria”. Ini ciri-ciri melawan firman Tuhan (2 Korintus 6:14). Memilih: “Marta dan Maria”. Ini adalah ciri-ciri mata keranjang. Fikir-fikirkanlah....

04 June 2009

LEBIH DARI PEMENANG

Firman Tuhan mengatakan, orang-orang yang percaya Yesus Kristus adalah Tuhan dan Juruselamatnya secara peribadi, dia adalah ‘lebih dari pemenang’ dan bukan sekedar pemenang. Lebih dari pemenang bererti kemenangan itu bukan hasil usaha atau kerja keras yang kita lakukan, tetapi kemenangan itu diberikan kepada kita oleh seorang pemenang.

Seorang suami telah bekerja keras untuk memenangi pertandingan mendaki gunung Kinabalu dan akhirnya dia memenangi pertandingan itu sebagi juara. Ketika kembali ke rumah, dia menyerahkan semua hadiah hasil kemenangannya itu kepada isterinya. Dalam hal ini, si suami adalah seorang pemenang, tetapi isterinya adalah “lebih dari pemenang”. Kenapa? Kerana si isteri tidak bekerja keras untuk mendapatkan hadiah itu; tetapi menikmati hadiah itu kerana diberikan oleh seorang pemenang iaitu suaminya.

Ketika Paulus mengatakan, “Tetapi dalam semuanya itu kita lebih dari orang-orang yang menang, oleh Dia (Yesus) yang telah mengasihi kita” (Roma 8:37). Kenapa orang-orang percaya disebut “lebih dari orang-orang yang menang”?

1. YESUS PEMBELA KITA

“Kristus Yesus...menjadi Pembela bagi kita..”
Roma 8:34

Di mahkamah, selain hakim yang akan memberikan penghakiman, mesti ada “Orang Kena Tuduh (OKT)”, pendakwa dan pembela. Pendakwa akan cuba membuktikan segala kesalahan yang dilakukan oleh OKT sehingga OKT itu dijatuhi hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya. Sementara itu, pembela pula akan berusaha mengemukakan bukti-bukti bahawa OKT itu tidak bersalah sehingga dibebaskan dari hukuman. Ini terjadi di alam nyata.

Di alam roh, Wahyu 11:10 mengatakan, Iblis adalah, “...pendakwa...yang mendakwa mereka (kita) siang dan malam di hadapan ‘TUHAN’...”. Ternyata setiap kita manusia di dunia ini sedang di dakwa oleh si pendakwa iaitu Iblis. Kenapa? Roma 3:23 mengatakan, “...semua orang telah berbuat dosa...”. Kerana dosa, kita semua adalah OKT dan tuduhan Iblis itu ada benarnya. Hukuman patut dijatuhkan kepada setiap orang berdosa seperti yang dikatakan dalam Roma 6:23, “Sebab upah dosa ialah maut (siksaan kekal di neraka)...”.

Antara tuduhan yang selalu Iblis perkatakan ialah, dia mengingatkan bahawa kita adalah orang berdosa dan tidak ada jalan keluar dari hukuman akibat dosa. Iblis mengingatkan Anda tentang dosa yang pernah Anda lakukak, seperti: Mencuri, membunuh, berzinah, berbohong, menipu, merugikan orang lain dan banyak lagi. Walaupun dosa yang dilakukan sudah lama berlalu, namun dia terus-menerus mengingatkan Anda tentang dosa itu. Kesan dari tuduhan Iblis ialah; hilang sukacita, tidak ada damai, tidak bersemangat dalam hidup, rasa bersalah, rasa tertuduh, merasa tidak layak dan patut dihukum.

Roma 8:34 pula mengatakan Yesus adalah Pembela kita. Yesus bukan sagaja Pembela, tetapi Dia juga adalah Hakim yang adil (Kis. 10:42; 17:31). Yesus mati di atas kayu salib kerana Dia menanggung segala akibat dari dosa umat manusia, supaya setiap orang yang beriman kepada-Nya tidak binasa melainkan beroleh hidup yang kekal (Yoh. 3:16). Saat Anda percaya dan menerima Yesus menjadi Tuhan dan Penyelamat, Yesus juga telah menjadi Pembela Anda. Ketika Iblis datang kepada TUHAN dan menyampaikan tuduhan-tuduhan terhadap Anda, jangan takut sebab Yesus Pembela hidup mu.

Anda lebih dari pemenang kerana Yesus adalah Pembela kita. Memang benar kita semua sudah berbuat dosa dan sepatutnya dihukum akibat dosa yang kita perbuat, namun Yesus telah mengampuni segala dosa dan pelanggaran kita. Dia membela dan membenarkan kita di hadapan TUHAN.

Jika Iblis menuduh dan mengingatkan Anda tentang dosa masa lalu yang Anda perbuat, ingatkan dia (Iblis) tentang masa depannya, iaitu penghukuman kekal di neraka. Jangan biarkan diri Anda terus menerus dalam rasa tertuduh. Bila Anda merasa tertuduh akibat dosa yang Anda lakukan, akuilah bahawa Anda telah melakukannya di hadapan Tuhan dan mohon pengampunan. 1 Yohanes 1:9 mengatakan, “Jika kita mengaku dosa kita, maka Ia (Yesus) adalah setia dan adil, sehingga Ia akan mengampuni segala dosa kita dan menyucikan kita dari segala kejahatan”. Ketika Anda mengakui dosa Anda di hadapan Tuhan maka Dia akan membela Anda, kerana Dia bukan sahaja Pembela tetapi juga Hakim yang adil bagi Anda.

2. YESUS MENGASIHI KITA
“Sebab aku yakin, bahawa baik maut, maupun hidup, baik malaikat-malaikat, maupun pemerintah-pemerintah, baik yang ada sekarang, maupun yang akan datang, atau kuasa-kuasa, baik yang di atas, maupun di bawah ataupun sesuatu makhluk lain, tidak akan memisahkan kita dari kasih ‘TUHAN’, yang ada dalam Kristus Yesus, Tuhan kita.”
Roma 8:38-39

Ada sepasang suami isteri dengan 2 orang anak yang masih kecil, akhirnya bercerai kerana dipaksa oleh ibubapa mereka yang tidak setuju dan tidak suka dengan perkahwinan mereka, walaupun mereka saling mencintai satu dengan yang lain. Kenapa? Kerana kasih manusia dapat dipisahkan oleh manusia, keadaan atau kerana kematian. Firman Tuhan dengan jelas mengatakan bahawa tidak ada yang dapat memisahkan kita dari kasih TUHAN yang ada dalam kasih Kristus, Tuhan kita. Baik di dunia nyata atau di dunia roh, tidak ada yang dapat memisahkan kita dari kasih TUHAN. Inilah alasan kedua kenapa kita yang percaya Yesus disebut lebih dari pemenang.

Bagaimanakah Anda dapat mengalami kasih Yesus? Saat Anda meresponi kasih Yesus dengan cara beriman dan mengasihi Dia; Dia mengasihi Anda dengan kasih yang kekal dan sempurna. Tuhan tahu bahawa kasih kita tidak sempurna. Selalu berubah-ubah dan tidak setia, namun kasih Yesus adalah sempurna di dalam kita. 1 Yohanes 4:10 mengatakan, “Inilah kasih itu: Bukan kita yang mengasihi TUHAN, tetapi TUHAN yang mengasihi kita dan yang telah mengutus Anak-Nya (Yesus Kristus) sebagai pendamaian bagi dosa-dosa kita.” Wow! Sangat dasyat! Sangat luar biasa! Kerana TUHAN yang terlebih dahulu mengasihi Anda dan Saya, bukan kita yang terlebih dahulu mengasihi TUHAN. Oleh kerana TUHAN mengasihi kita, Dia telah mengutus Anak-Nya Yesus Kristus untuk mendamaikan kita dengan TUHAN dan memulihkan hubungan serta persekutuan kita dengan Dia. Sekarang kita dapat memanggil TUHAN, “Ya Abba, ya Bapa” (Roma 8:14). Firman Tuhan juga mengatakan, kita dikasihi oleh Tuhan bukan ketika kita sudah bertobat dari segala dosa kita, tetapi ketika kita masih berdosa (Roma 5:8). Hanya melalui kasih Yesus, kita dijadikan-Nya lebih dari pemenang.

Iblis sendiri pun tidak dapat memisahkan kita dari kasih Yesus. Kelemahan, penyakit, kemiskinan, makhluk asing, kekurangan atau apa saja, tidak dapat memisahkan Anda dari kasih Kristus. Jangan sekali-kali Anda katakan dalam hati, fikiran atau perkataan, bahawa TUHAN tidak mengasihi Anda lagi; walau dengan apa alasan sekalipun.

RENUNGKAN:

Ketika Anda mengingat dosa-dosa yang pernah Anda lakukan, ingatlah bahawa Yesus adalah Pembelamu. Dia telah menanggung semua dosamu waktu Dia mati di atas kayu salib. Dia telah mengampuni dan membenarkan engkau, kerana Dia sekarang adalah Pembelamu.

Ketika Anda merasa tidak dikasihi oleh orang-orang yang Anda harapkan untuk mengasihi Anda, ingatlah bahawa Yesus setia mengasihi engkau. Tidak ada yang memisahkan engkau dari kasih-Nya. Dia mengasihimu dengan kasih yang sempurna dan kekal.

Mari, naikkan ucapan syukur di hadapan TUHAN kerana kita adalah “LEBIH DARI PEMENANG”. Siapapun engkau hari ini, jika engkau percaya dan menerima Yesus menjadi Tuhan dan Penyelamat hidup mu, engkau adalah “LEBIH DARI PEMENANG”.

“ Sebab jika kamu mengaku dengan mulutmu, bahawa Yesus adalah Tuhan dan percaya dalam hatimu, bahawa TUHAN telah membangkitkan Dia dari antara orang mati, MAKA KAMU AKAN DISELAMATKAN ”Roma 10:9

02 June 2009

BERI DAN LAKUKAN YANG TERBAIK UNTUK TUHAN

Ketika seseorang bekerja; baik di kilang, di ladang, di pejabat, di rumah atau di gereja: Seringkali merasa bersungut-sungut, lakukan kerja dengan cara ala kadar (asal siap / asal jadi) dan tidak melakukan pekerjaan atau tugas itu dengan sungguh-sungguh, sehingga tidak dapat menghasilkan yang 'Excellent'. Kenapa hal ini terjadi?

Excellent itu bererti "Memberi / melakukan sesuatu lebih dari yang diharapkan". Excellent itu lebih dari sekadar baik.

Kolose 3:23 mengatakan : "Apapun juga yang kamu perbuat, perbuatlah dengan segenap hatimu untuk Tuhan dan bukan untuk manusia".

Dari ayat ini ada 3 kebenaran penting tentang bagaimana kita dapat menghasilkan yang 'Excellent' dari apa yang kita lakukan atau kerjakan.
1. TUHAN MENGHARGAI 'APAPUN' YANG KITA LAKUKAN
Firman Tuhan mengatakan, "Apapun yang kamu perbuat...". Tidak dibatasi dengan hal-hal yang menyenangkan, yang mudah dikerjakan atau yang berkaitan tentang pelayanan sahaja, tetapi "APAPUN" iaitu segala sesuatu yang kita lakukan. Ketika Anda menulis tesis, menyiapkan 'assignment', mengerjakan kerja-kerja di pejabat, mempersiapkan lagu-lagu yang akan dinyanyikan dalam pertemuan ibadah, mengurus anak, membasuh pinggan mangkuk atau membersihkan gereja, semuanya itu dihargai oleh Tuhan dan Dia rindu anak-anak-Nya melakukannya dengan 'Excellent'.

Tuhan telah mempercayakan kami suami isteri dengan seorang anak yang 'cute'. Kami beri nama Chrischel Ernfui. Dalam beberapa waktu ini, Tuhan memberi saya kesempatan untuk menjaga anak kami kerana kami belum ada pembantu dan isteri bekerja dengan kerajaan. Pada mulanya saya berfikir, alangkah baiknya jika kami ada pembantu; saya akan lebih bebas melakukan apa saja aktiviti yang saya fikir dan rencanakan. Tetapi Tuhan menegur saya. Dia katakan, "Ini adalah kesempatan terbaik untuk kamu memberi dan melakukan yang terbaik untuk anak kamu yang baru berusia 3 bulan, kerana kamu tidak akan ada kesempatan seperti ini lagi ketika dia sudah berusia 30 tahun." Saya diingatkan Tuhan tentang ayat ini, "Apapun yang kamu perbuat...".

Bererti, Tuhan menghargai bukan sahaja pelayanan berkutbah, mengajar, membimbing, menasihati atau memimpin jemaah yang saya lakukan, tetapi mengurus keluarga juga Tuhan sangat hargai. Ingat: Tuhan menghargai 'Apapun' yang Anda kerjakan dan lakukan.

2. TUHAN MAHU KITA MEMILIKI SIKAP "SEGENAP HATI"

Masalah utama, kenapa ramai orang yang tidak dapat melakukan sesuatu dengan 'Excellent' ialah kerana apa yang dilakukan itu dilakukan bukan dengan sikap "Segenap hati". Segenap hati itu belum tentu dalam hal kepakaran(kemahiran) atau yang kita suka, tahu dan selalu lakukan. Segenap hati itu berkenaan dengan sikap. Wayne Cordiero menuliskan dalam bukunya, "Sikap Yang Menentukan Keberhasilan". Benar! Sikap sangat menentukan keberhasilan. Firman Tuhan juga mengatakan, "...perbuatlah dengan segenap hatimu...". Bererti sikaplah yang menentukan apakah kita mengerjakan sesuatu dengan 'Excellent'.

Tentu Anda ingat cerita klasik tentang perlumbaan di antara arnab dan kura-kura yang akhirnya dimenangi oleh si kura-kura. Jika diteliti dengan baik, dari segi kepantasan berlari, arnab lebih pantas dari kura-kura. Tetapi, kenapa dalam cerita ini, kura-kura yang memenangi perlombaan tersebut? Semuanya kerana "Sikap". Ketika arnab berfikir kura-kura tidak mungkin dapat mengalahkan dia kerana kura-kura itu berjalan sangat perlahan, sikap itu yang terlebih dahulu menewaskan si arnab, bukan kerana kura-kura itu cepat berlari atau kerana arnab tertidur (seperti dalam cerita dongeng kura-kura vs arnab).

Ketika Anda bersikap, "Nantilah...baru saya kerjakan...tesis...kerja rumah...persiapan kutbah...persiapan pelayanan...bersiap-siap ke gereja...dan banyak lagi...", sikap itulah yang membuat semua yang Anda lakukan menghasilkan yang tidak 'Excellent".

Tuhan meminta Anda berubah dari sikap "Saya tidak boleh atau saya boleh" kepada "Dengan segenap hati" walaupun Anda tidak mahir melakukannya atau sudah selalu melakukannya. Jika Anda melakukan sesuatu dengan segenap hati, pasti Anda tidak akan membuang atau menangguh masa untuk mengerjakan apa yang patut Anda kerjakan. Jika Anda memiliki sikap "segenap hati", Anda pasti mahu melakukan sesuatu dengan cara yang terbaik, walaupun itu bukan bidang kepakaran atau Anda tidak biasa melakukan pekerjaan itu. Mulailah dari SEKARANG! Praktikkan "Dengan segenap hati".

3. SEGALA SESUATU ADALAH UNTUK TUHAN

Paulus menuliskan dalam ayat ini, "...untuk Tuhan dan bukan untuk manusia". Kita seringkali berfikir atau menuntut, apa yang kita akan dapatkan jika kita lakukan sesuatu dengan 'Excellent"? Kenapa fikiran itu muncul? Kerana, kita berfikir, apa yang kita lakukan, kita lakukan untuk manusia.

Yesus mengatakan dalam Matius 25:40 "Aku berkata kepadamu, sesungguhnya segala sesuatu yang kamu lakukan untuk salah seorang saudara-Ku yang paling hina ini, kamu telah melakukannya untuk Aku." Sebelum ayat 40, Yesus mengatakan "Ketika Aku lapar, kamu memberi Aku makan; ketika Aku haus, kamu memberi Aku minum; ketika Aku seorang asing, kamu memberi Aku tumpangan; ketika Aku telanjang, kamu memberi aku pakaian; ketika Aku sakit, kamu melawat Aku; ketika Aku di dalam penjara, kamu mengunjungi Aku" Matius 25:35-36.

Ketika Yesus ditanya, bila semua (Ay.35-36) itu terjadi kepada Dia (Lapar, haus, orang asing, telanjang, sakit & banduan) ? Yesus mengatakan bahawa Dia turut merasakan semua penderitaan yang dialami oleh setiap orang di dunia ini.

Jika hari ini Anda melihat seseorang yang dalam keadaan lapar, haus, terasing atau diasingkan, sakit, tidak ada pakaian atau dipenjarakan kerana apa saja kesalahan, apakah 'respon' (tindak balas) Anda? Apakah Anda akan katakan, "Uruslah dirimu sendiri...aku uruskan diriku sendiri" atau "Itulah kamu...kalau kamu tidak mencuri, kamu tidak akan dipenjarakan...kalau kamu bersekolah tinggi kamu tidak akan melarat...kalau kamu tidak melanggani pelacur kamu tidak akan terkena HIV/Aids..". Apakah itu respon Anda?

Yesus tidak pertanyakan kenapa mereka lapar, haus, telanjang, sakit atau dipenjarakan, hari ini Yesus bertanya apakah responmu?

Anda pasti akan melakukan yang 'Excellent' jika segala sesuatu yang Anda lakukan, semuanya tertuju kepada Tuhan dan bukan kepada manusia semata-mata. Bila itu tertuju kepada Tuhan, Anda akan lakukan semua yang terbaik dan sesuai dengan kebenaran firman Tuhan melalui hidup Anda.

RENUNGKAN:

Selama ini, mungkin Anda berfikir, "pekerjaan atau pemberian yang terbaik itu hanya yang saya lakukan di gereja". Itu tidak tepat, kerana Tuhan menghargai apapun (Tidak bertentengan dengan firman Tuhan) yang Anda lakukan.

Anda mungkin berkata, "Saya tidak dapat kerjakan... kerana saya tidak ada kemahiran mengerjakannya..." atau Anda berfikir "Nanti saja... senang saja kerjakan bah itu...", sehingga menghasilkan sikap bukan dengan "segenap hati". Hari ini, Tuhan mahu Anda lakukan segala sesuatu dengan sikap "Segenap hati".

Jangan menuntut, "apa yang saya akan dapat?", ketika Anda melakukan yang terbaik untuk orang lain kerana semua yang Anda lakukan itu tertuju kepada Yesus. Jika Anda ingin menyenangkan hati Tuhan, lakukan sesuatu yang terbaik kepada yang "paling hina" iaitu orang-orang di sekeliling Anda yang memerlukan bantuan.

"BERI DAN LAKUKAN YANG TERBAIK UNTUK TUHAN"

Tuhan memberkati.