04 June 2009

LEBIH DARI PEMENANG

Firman Tuhan mengatakan, orang-orang yang percaya Yesus Kristus adalah Tuhan dan Juruselamatnya secara peribadi, dia adalah ‘lebih dari pemenang’ dan bukan sekedar pemenang. Lebih dari pemenang bererti kemenangan itu bukan hasil usaha atau kerja keras yang kita lakukan, tetapi kemenangan itu diberikan kepada kita oleh seorang pemenang.

Seorang suami telah bekerja keras untuk memenangi pertandingan mendaki gunung Kinabalu dan akhirnya dia memenangi pertandingan itu sebagi juara. Ketika kembali ke rumah, dia menyerahkan semua hadiah hasil kemenangannya itu kepada isterinya. Dalam hal ini, si suami adalah seorang pemenang, tetapi isterinya adalah “lebih dari pemenang”. Kenapa? Kerana si isteri tidak bekerja keras untuk mendapatkan hadiah itu; tetapi menikmati hadiah itu kerana diberikan oleh seorang pemenang iaitu suaminya.

Ketika Paulus mengatakan, “Tetapi dalam semuanya itu kita lebih dari orang-orang yang menang, oleh Dia (Yesus) yang telah mengasihi kita” (Roma 8:37). Kenapa orang-orang percaya disebut “lebih dari orang-orang yang menang”?

1. YESUS PEMBELA KITA

“Kristus Yesus...menjadi Pembela bagi kita..”
Roma 8:34

Di mahkamah, selain hakim yang akan memberikan penghakiman, mesti ada “Orang Kena Tuduh (OKT)”, pendakwa dan pembela. Pendakwa akan cuba membuktikan segala kesalahan yang dilakukan oleh OKT sehingga OKT itu dijatuhi hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya. Sementara itu, pembela pula akan berusaha mengemukakan bukti-bukti bahawa OKT itu tidak bersalah sehingga dibebaskan dari hukuman. Ini terjadi di alam nyata.

Di alam roh, Wahyu 11:10 mengatakan, Iblis adalah, “...pendakwa...yang mendakwa mereka (kita) siang dan malam di hadapan ‘TUHAN’...”. Ternyata setiap kita manusia di dunia ini sedang di dakwa oleh si pendakwa iaitu Iblis. Kenapa? Roma 3:23 mengatakan, “...semua orang telah berbuat dosa...”. Kerana dosa, kita semua adalah OKT dan tuduhan Iblis itu ada benarnya. Hukuman patut dijatuhkan kepada setiap orang berdosa seperti yang dikatakan dalam Roma 6:23, “Sebab upah dosa ialah maut (siksaan kekal di neraka)...”.

Antara tuduhan yang selalu Iblis perkatakan ialah, dia mengingatkan bahawa kita adalah orang berdosa dan tidak ada jalan keluar dari hukuman akibat dosa. Iblis mengingatkan Anda tentang dosa yang pernah Anda lakukak, seperti: Mencuri, membunuh, berzinah, berbohong, menipu, merugikan orang lain dan banyak lagi. Walaupun dosa yang dilakukan sudah lama berlalu, namun dia terus-menerus mengingatkan Anda tentang dosa itu. Kesan dari tuduhan Iblis ialah; hilang sukacita, tidak ada damai, tidak bersemangat dalam hidup, rasa bersalah, rasa tertuduh, merasa tidak layak dan patut dihukum.

Roma 8:34 pula mengatakan Yesus adalah Pembela kita. Yesus bukan sagaja Pembela, tetapi Dia juga adalah Hakim yang adil (Kis. 10:42; 17:31). Yesus mati di atas kayu salib kerana Dia menanggung segala akibat dari dosa umat manusia, supaya setiap orang yang beriman kepada-Nya tidak binasa melainkan beroleh hidup yang kekal (Yoh. 3:16). Saat Anda percaya dan menerima Yesus menjadi Tuhan dan Penyelamat, Yesus juga telah menjadi Pembela Anda. Ketika Iblis datang kepada TUHAN dan menyampaikan tuduhan-tuduhan terhadap Anda, jangan takut sebab Yesus Pembela hidup mu.

Anda lebih dari pemenang kerana Yesus adalah Pembela kita. Memang benar kita semua sudah berbuat dosa dan sepatutnya dihukum akibat dosa yang kita perbuat, namun Yesus telah mengampuni segala dosa dan pelanggaran kita. Dia membela dan membenarkan kita di hadapan TUHAN.

Jika Iblis menuduh dan mengingatkan Anda tentang dosa masa lalu yang Anda perbuat, ingatkan dia (Iblis) tentang masa depannya, iaitu penghukuman kekal di neraka. Jangan biarkan diri Anda terus menerus dalam rasa tertuduh. Bila Anda merasa tertuduh akibat dosa yang Anda lakukan, akuilah bahawa Anda telah melakukannya di hadapan Tuhan dan mohon pengampunan. 1 Yohanes 1:9 mengatakan, “Jika kita mengaku dosa kita, maka Ia (Yesus) adalah setia dan adil, sehingga Ia akan mengampuni segala dosa kita dan menyucikan kita dari segala kejahatan”. Ketika Anda mengakui dosa Anda di hadapan Tuhan maka Dia akan membela Anda, kerana Dia bukan sahaja Pembela tetapi juga Hakim yang adil bagi Anda.

2. YESUS MENGASIHI KITA
“Sebab aku yakin, bahawa baik maut, maupun hidup, baik malaikat-malaikat, maupun pemerintah-pemerintah, baik yang ada sekarang, maupun yang akan datang, atau kuasa-kuasa, baik yang di atas, maupun di bawah ataupun sesuatu makhluk lain, tidak akan memisahkan kita dari kasih ‘TUHAN’, yang ada dalam Kristus Yesus, Tuhan kita.”
Roma 8:38-39

Ada sepasang suami isteri dengan 2 orang anak yang masih kecil, akhirnya bercerai kerana dipaksa oleh ibubapa mereka yang tidak setuju dan tidak suka dengan perkahwinan mereka, walaupun mereka saling mencintai satu dengan yang lain. Kenapa? Kerana kasih manusia dapat dipisahkan oleh manusia, keadaan atau kerana kematian. Firman Tuhan dengan jelas mengatakan bahawa tidak ada yang dapat memisahkan kita dari kasih TUHAN yang ada dalam kasih Kristus, Tuhan kita. Baik di dunia nyata atau di dunia roh, tidak ada yang dapat memisahkan kita dari kasih TUHAN. Inilah alasan kedua kenapa kita yang percaya Yesus disebut lebih dari pemenang.

Bagaimanakah Anda dapat mengalami kasih Yesus? Saat Anda meresponi kasih Yesus dengan cara beriman dan mengasihi Dia; Dia mengasihi Anda dengan kasih yang kekal dan sempurna. Tuhan tahu bahawa kasih kita tidak sempurna. Selalu berubah-ubah dan tidak setia, namun kasih Yesus adalah sempurna di dalam kita. 1 Yohanes 4:10 mengatakan, “Inilah kasih itu: Bukan kita yang mengasihi TUHAN, tetapi TUHAN yang mengasihi kita dan yang telah mengutus Anak-Nya (Yesus Kristus) sebagai pendamaian bagi dosa-dosa kita.” Wow! Sangat dasyat! Sangat luar biasa! Kerana TUHAN yang terlebih dahulu mengasihi Anda dan Saya, bukan kita yang terlebih dahulu mengasihi TUHAN. Oleh kerana TUHAN mengasihi kita, Dia telah mengutus Anak-Nya Yesus Kristus untuk mendamaikan kita dengan TUHAN dan memulihkan hubungan serta persekutuan kita dengan Dia. Sekarang kita dapat memanggil TUHAN, “Ya Abba, ya Bapa” (Roma 8:14). Firman Tuhan juga mengatakan, kita dikasihi oleh Tuhan bukan ketika kita sudah bertobat dari segala dosa kita, tetapi ketika kita masih berdosa (Roma 5:8). Hanya melalui kasih Yesus, kita dijadikan-Nya lebih dari pemenang.

Iblis sendiri pun tidak dapat memisahkan kita dari kasih Yesus. Kelemahan, penyakit, kemiskinan, makhluk asing, kekurangan atau apa saja, tidak dapat memisahkan Anda dari kasih Kristus. Jangan sekali-kali Anda katakan dalam hati, fikiran atau perkataan, bahawa TUHAN tidak mengasihi Anda lagi; walau dengan apa alasan sekalipun.

RENUNGKAN:

Ketika Anda mengingat dosa-dosa yang pernah Anda lakukan, ingatlah bahawa Yesus adalah Pembelamu. Dia telah menanggung semua dosamu waktu Dia mati di atas kayu salib. Dia telah mengampuni dan membenarkan engkau, kerana Dia sekarang adalah Pembelamu.

Ketika Anda merasa tidak dikasihi oleh orang-orang yang Anda harapkan untuk mengasihi Anda, ingatlah bahawa Yesus setia mengasihi engkau. Tidak ada yang memisahkan engkau dari kasih-Nya. Dia mengasihimu dengan kasih yang sempurna dan kekal.

Mari, naikkan ucapan syukur di hadapan TUHAN kerana kita adalah “LEBIH DARI PEMENANG”. Siapapun engkau hari ini, jika engkau percaya dan menerima Yesus menjadi Tuhan dan Penyelamat hidup mu, engkau adalah “LEBIH DARI PEMENANG”.

“ Sebab jika kamu mengaku dengan mulutmu, bahawa Yesus adalah Tuhan dan percaya dalam hatimu, bahawa TUHAN telah membangkitkan Dia dari antara orang mati, MAKA KAMU AKAN DISELAMATKAN ”Roma 10:9

5 comments:

  1. M.A.N.T.A.P! Kamu semakin LUARbiasa!

    ReplyDelete
  2. Mari kita berkati dunia melalui penulisan dalam blog. Terus Antusias! jangan lupa datang kelas SPK ke-4. Jangan lupa 4M setiap hari. Dorong teman2 yang lain. Gbu

    ReplyDelete
  3. Tahniah Pastor kerana memulakan blog yang luarbiasa ini. Syabas! Tuhan memberkati pelayanan pst dan juga penulisan blog sehingga ramai orang diberkati Tuhan.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih pst untuk sokongan. Doa saya, pelayanan pst juga semakin diberkati dan menjadi berkat bagi banyak orang di seluruh dunia ini. Tuhan memberkati.

    ReplyDelete
  5. Shallom Pst. Semoga ramai orang akan diberkati dengan blog ini. Terima kasih kerana banyak berkat diperolehi dlm blog ini.

    ReplyDelete