13 June 2009

TAKUT AKAN TUHAN

Pada 9-11 Jun 2009, seramai 127 orang pastor, isteri pastor beserta anak-anak dari seluruh SIB Semenanjung, telah berkumpul di NUBE Hotel, Port Dckson (75 dewasa & 52 kanak-kanak dan remaja). Hampir semua pastor dalam gereja SIB telah menghadiri retret ini (dalam 95%). Suatu pengalaman yang sangat menyegarkan dan memberkati. Kami sekeluarga juga telah turut serta dalam retret ini. Perjalanan dari Serdang ke Port Dickson mengambil masa 1 jam 30 minit (pelan-pelan 80kmj...lah).

Saya sangat kagum dengan pastor-pastor yang agak jauh dari Port Dickson (PD). Ada di kalangan Pastor yang menempuh perjalanan kira-kira 4 hingga 8 jam dari tempat mereka ke PD. Saya menyaksikan semangat, kehausan dan kerendahan hati para hamba Tuhan yang datang.

Seorang Pastor memberi kesaksian pengucapan syukur kerana pemeliharaan Tuhan. Sehari sebelum ke retreat pastor di PD, dia mengalami kemalangan jalan raya. Ketika membelokkan kereta proton iswaranya ke simpang kiri, tiba-tiba sebuah motorsikal yang ditunggang oleh seorang wanita melanggar dia dari tepi kiri. Dia bersama isteri dan dua orang anak tidak mengalami apa-apa kecaderaan bahkan kereta mereka tidak mengalami apa-apa kerosakan. Tetapi penunggang motorsikal itu cedera parah, dan dia sendiri yang membawa wanita tersebut ke hospital sebelum dia membuat laporan polis berkenaan kemalangan tersebut. Pihak polis mengesahkan dia tidak melakukan kesalahan dalam insiden itu sebab dia sudah memasang lampu isyarat dari jauh sebelum memasuki simpang tersebut dan dia dilanggar oleh motorsikal itu dari tepi kiri (bukan laluan memotong). Bagaimanapun, dia telah melakukan yang sepatutnya sebagai anak Tuhan iaitu dia bertanggung jawab menghantar wanita itu ke hospital. Keesokan harinya dia ingin bertemu dengan wanita itu tetapi pihak hospital katakan dia sudah keluar dari hospital. Dalam keadaan yang masih trauma, dia dan keluarga masih meneruskan penyertaan ke retreat pastor walaupun tidak cukup tidur akibat insiden itu. Saya sangat mengagumi komitmennya.

Saya percaya, firman Tuhan yang dikongsikan oleh Pastor Lam Kee Hing (SIB Skyline, Kota Kinabalu, Sabah), telah memberkati semua peserta retret. Bertemakan “Takut Akan Tuhan”, merupakan suatu retret yang menyingkapkan kebenaran firman Tuhan; bukan sekedar untuk diketahui, dimengerti atau disampaikan, tetapi sungguh-sungguh harus dipraktikkan.

Kalau Anda bertanya: Kenapa ramai pastor, pemimpin gereja atau sekular, bahkan anak-anak muda; melakukan dosa atau kejahatan dengan cara sembunyi-sembunyi? Jawabannya ialah kerana “Tidak takut akan Tuhan”. Kerana tidak ada orang yang melihat, mengetahui atau menyedari dosa atau kejahatan yang dilakukan, maka dia lakukan perkara itu. Perzinahan, penipuan, mencuri, menonton atau membaca hal-hal porno (lucah) dan banyak lagi kejahatan; dilakukan secara sembunyi-sembunyi, kerana tidak ada rasa takut akan Tuhan.

Dalam bahasa asli, takut akan Tuhan itu membawa 2 pengertian. Pertama: ‘Yirah’ (Ibrani) atau ‘Phobeo’ (Yunani), yang bererti rasa takut yang menyebabkan kehormatan; termasuk emosi seperti kehormatan, sanjungan tinggi dan kekaguman. Kedua: ‘Pachad’ (Ibrani), bererti takut yang dasyat. Perkataan ini biasa dipakai dalam konteks orang berdosa yang belum bertobat sedang ketakutan kerana menghadapi hukuman Tuhan.

Keluaran 20:18-21 menggambarkan dua jenis takut akan Tuhan. Pertama: Bangsa Israel. Mereka takut berhadapan dengan Tuhan kerana takut mati akibat dosa mereka; lalu menjauhkan diri dari TUHAN. Kedua: Musa. Musa seorang yang takut akan Tuhan, tetapi dia tidak menjauhkan diri dari TUHAN malah dia mendekat kepada Tuhan. Pada masa kini, takut akan Tuhan bukan membuat kita takuti Dia sehingga menjauhkan diri dari Dia. Takut akan Tuhan akan membuat kita menjauhkan diri dari segala dosa dan mengasihi Tuhan dengan sungguh-sungguh melalui ketaatan pada firman-Nya.

Di dunia ini, kita tidak kekurangan orang yang kaya, pintar, berbakat, berpendidikan tinggi, berkarisma, memiliki pelayanan yang sangat berkesan dan luar biasa, tetapi apakah Tuhan menemukan orang seperti Ayub? Ayub 1:8 mengatakan: “Lalu bertanyalah TUHAN kepada Iblis: Apakah engkau memperhatikan hamba-Ku Ayub? Sebab tiada seorangpun di bumi seperti dia, yang demikian saleh dan jujur, yang takut akan ‘TUHAN’ dan menjauhi kejahatan.” Di hadapan Iblis sendiri, Tuhan sangat bangga dan memuji Ayub; seorang yang kaya raya dan takut akan Tuhan.

Mungkin Anda disanjung, dihormati atau dibanggakan oleh orang lain; tetapi apakah Tuhan bangga terhadap hidup Anda di hadapan Iblis? Atau Iblis yang bangga terhadap Anda di hadapan Tuhan? Tuhan tidak bangga atas hidup kita kerana karisma, kekayaan, kejayaan, setia melakukan hukum-hukum ugama; tetapi Tuhan bangga kepada setiap orang yang “Takut Akan DIA”.

Orang yang “Takut Akan Tuhan”, akan diuji dengan dua hal:

1. KESUSAHAN

Ayub diuji dengan kesusahan melalui kematian semua anaknya (Ayub 1:13-15) dan semua ternakan mati (Ayub 1:16-19) dalam satu hari sahaja. Namun respon Ayub adalah: “Dengan telanjang aku keluar dari kandungan ibuku, dengan telanjang juga aku akan kembali ke dalamnya. TUHAN yang memberi, TUHAN yang mengambilnya, terpujulah nama TUHAN.” Kesusahan Ayub tidak berakhir sampai di situ, dia akhirnya jatuh sakit, sangat miskin bahkan imannya kepada Tuhan dipertikai oleh isterinya sendiri, sehingga isterinya menyuruh Ayub mengutuki TUHAN (Ayub 2:7-9). Bagaimanapun, Ayub tetap teguh dalam imannya sehingga dia menegur isterinya: “Engkau berbicara seperti orang gila! Apakah kita mau menerima yang baik dari ‘TUHAN’ tetapi tidak mau menerima yang buruk?.” Firman Tuhan mengatakan, “Dengan itu Ayub tidak berbuat dosa dengan bibirnya.” (Ayub 2:10).

1 Korintus 10:13 mengatakan: “Pencobaan-pencobaan yang kamu alami ialah pencobaan biasa, yang tidak melebihi kekuatan manusia. Sebab ‘TUHAN’ setia dan kerana itu Ia tidak akan membiarkan kamu dicobai melampaui kekuatanmu. Pada waktu kamu dicobai Ia akan memberikan kepadamu jalan ke luar, sehingga kamu dapat menanggungnya.” Apakah Anda berpendapat bahawa pencobaan yang Ayub hadapi adalah “pencobaan biasa”? Di hadapan Tuhan, Ayub sanggup menghadapi semua pencobaan itu, kerana Dia tahu tahap kekuatan Ayub. Kesusahan apapun yang Ayub hadapi tidak akan membuat dia mempersalahkan atau menjauhkan diri dari Tuhan, kerana dia hidup dalam “Takut Akan Tuhan”.

2. KEJAYAAN

Sebelum dicobai dengan kesusahan, Ayub seorang yang berjaya. Anak lelakinya 7 orang, perempuan 3 orang, 7,000 ekor kambing domba, 3,000 ekor unta, 500 pasang lembu, 500 ekor keledai betina, pembantu yang sangat banyak dan terkaya dari semua orang di sebelah Timur (Ayub 1:2-3). Walaupun sangat kaya, tetapi Ayub 1:1 mencatat: “...Ayub...saleh dan jujur, Takut akan ‘TUHAN’ dan menjauhi kejahatan.” Dia seorang yang takut akan Tuhan.

Setelah dicobai dari kesusahan, Alkitab mencatat : “...TUHAN memberikan kepada Ayub dua kali lipat dari segala kepunyaannya dahulu.” Bererti, Ayub lebih kaya dari sebelum ia dicobai. Tuhan memberkati Ayub dengan 7 orang anak lelaki, 3 orang anak perempuan (Yemima, Kezia dan Kerenhapukh. Mereka diberi milik pusaka dan merupakan gadis yang tercantik di negeri mereka), 14,000 ekor kambing domba, 6,000 ekor unta, 1,000 pasang lembu dan 1,000 ekor keledai betina (Ayub 42:12-15). Ayub juga diberi kesempatan untuk menikmati kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan selama 140 tahun lagi, bahkan sempat melihat anak-cucu sampai keturunan ke empat (Ayub 42:16). Bayangkan 140 tahun menikmati kejayaan dan hidup dalam “Takut Akan Tuhan”.

Orang yang takut akan Tuhan tidak mengejar kejayaan, tetapi kejayaan yang mengejarnya. Orang-orang di sekeliling Ayub digerakkan TUHAN untuk memberkati hidup Ayub (Ayub 42:11). Mazmur 23:6 mengatakan : “Kebajikan dan kemurahan belaka akan mengikuti aku, seumur hidupku...” Iman orang yang takut akan Tuhan tidak akan gugur oleh kerana kejayaan.

RENUNGKAN:

Ayub seorang yang “Takut Akan Tuhan”. Tuhan tahu; kerana Ayub takut akan Dia, maka Ayub dapat menghadapi apapun kesusahan yang dihadapi dan Ayub dapat dipercayakan sebanyak manapun harta kekayaan. Apakah Anda sanggup menghadapi apa saja kesusahan atau dapat dipercayakan sebanyak mungkin kekayaan, kerana Anda “Takut Akan Tuhan”?

Doa saya adalah... Anda dan Saya menjadi Ayub-Ayub yang takut akan Tuhan; yang dapat diizinkan Tuhan melewati kesusahan apa pun kerana Yesus Kristus dan dapat dipercayai dengan kejayaan yang luar biasa.

Fikir-fikirkanlah.....

.....Berkat 2 kali lipat itu tidak bererti isteri Ayub pun 2 kali lipat.
.....Mungkin Tuhan sudah siap memberkati hidup Anda berlimpah-limpah (Kekayaan, isteri/suami, anak-anak, pekerjaan, kurnia, pelayanan dan banyak lagi), tetapi Dia melihat Anda belum siap menerimanya kerana Dia tahu jika Anda belum siap...KEJAYAAN akan menjatuhkan anda.

“Perkara yang menakjubkan mengenai takut akan Tuhan ialah, apabila Anda takut akan Tuhan, Anda tidak akan takut apa-apa pun; manakala jika Anda TIDAK takut akan Tuhan, Anda akan takut segala-galanya.” Oswald Chambers

8 comments:

  1. Amen. Di puncak Kejayaan maupun di lembah kegagalan.. Tetap takut akan Tuhan... Dia yg memberi dia jugalah yg mengambil.. Terpujilah DIA selama-lamanya..

    ReplyDelete
  2. Tq untuk respon yang sangat baik. Doa saya, setiap dari kita orang yang percaya Yesus, memiliki kualiti "Takut Akan Tuhan". Saya percaya kalau kamu memelihara ini, kamu ada kemampuan yang luar biasa untuk melewati lembah kesusahan tetapi juga Tuhan dapat percayakan kejayaan yang luar biasa. Gbu

    ReplyDelete
  3. "Mungkin Tuhan sudah siap memberkati hidup Anda berlimpah-limpah (Kekayaan, isteri/suami, anak-anak, pekerjaan, kurnia, pelayanan dan banyak lagi), tetapi Dia melihat Anda belum siap menerimanya kerana Dia tahu jika Anda belum siap...KEJAYAAN akan menjatuhkan anda."
    Sy diberkati dengan kata-kata ini. Very Refreshing! Tq Pr. God Bless.

    ReplyDelete
  4. Puji Tuhan. Saya percaya Tuhan bercakap kepada kita secra peribadi melalui banyak cara. Izinkan dia bercakap dan menyatakan isi hati-Nya melalui blog ini. Saya percaya, Tuhan sedia memberi kepercayaan yang lebih besar lagi kepada kamu. Terus ANTUSIAS dalam Tuhan. GBU

    ReplyDelete
  5. Pastor telah melakukan satu anjakan pelayanan dengan adanya blog ini. Ini merupakan satu langkah yang bijak dan perkongsian tidak terhad hanya kepada sidang jemaat di Serdang sahaja namun di seluruh dunia.

    ReplyDelete
  6. Terima kasih kerana mengepos tajuk yang menarik ini.. Kita berdoa agar takut akan TUHAN akan turun atas pemimpin-pemimpin negeri dan negara kita juga..Dengan demikian akan ada keadilan dan pembelaan hak asasi manusia yang sebenarnya di Malaysia..Kalau Nebukadnezar boleh menjadi takut akan Tuhan, dan raja-raja seperti RajaDarius dan Kornelius sebelum menerima Yesus pun sudah hidup dalam takut akan Tuhan, maka kita boleh berdoa supaya negara kita diberi pemimpin-pemimpin yang takut kepada yang Esa. Dengan demikian barulah Malaysia kita akan menggenapi destinasi profetiknya iaitu menjadi berkat bagi bangsa-bangsa. Nubuatan terakhir saya dengar tentang Malaysia adalah negara kita dan Indonesia akan menjadi negara "Yusuf" yang membekal makanan ke negara-negara yang memerlukan..Semua ini akan jadi kenyataan bila pemimpin ada rasa Takut Akan Tuhan yang Maha Esa...

    ReplyDelete
  7. Pembetulan: Darius itu raja di PL. Kornelius bukan raja. Dia seorang kepala tentera di PB dalam Kisah Para Rasul. Saya ringkaskan saja di tas tu..;-)

    ReplyDelete
  8. Ounga & Perisai, tq untuk dorongan. Bila kita mulakan sesuatu dengan hati yang "Takut Akan Tuhan" pasti impaknya bukan hanya pada diri sendiri, keluarga, orang lain, gereja, generasi atau bangsa kita, tetapi akan berimpak kepada negara dan dunia ini. Gbu

    ReplyDelete